Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:23pm
PENYANYI dan pelakon, Kaka Azraff. - Foto Salhani Ibrahim
PENYANYI dan pelakon, Kaka Azraff. - Foto Salhani Ibrahim
KAKA Azraff. - Foto Rohanis Shukri
KAKA Azraff. - Foto Rohanis Shukri

Kaka Azraff 'balas dendam'

KUALA LUMPUR: Biarpun single terbarunya gagal mendaki anak tangga carta lagu popular di radio tempatan, penyanyi, Kaka Azraff, berazam untuk terus membina nama dalam dunia muzik.

Pernah popular dengan beberapa lagu seperti Bukan Hal Aku, Terpulanglah dan Terima Kasih, Kaka yang turut mengasah bakatnya dalam lakonan memperkenalkan single, Kembali, pada Oktober tahun lalu.

Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, turut menjelaskan, tindakannya untuk kembali aktif berlakon juga bukanlah kerana kecewa dengan arena seni suara, sebaliknya dia terlalu merindui bidang berkenaan selepas setahun berehat daripada beraksi di depan kamera.

"Istilah kecewa tidak wujud sama sekali dalam diri ini, malah saya lebih bersemangat setelah berada di bawah label Warner Music. Ia menjadi alternatif untuk memperkukuhkan lagi nama dalam bidang nyanyian.

"Saya sebenarnya amat merindui bidang lakonan kerana tidak mengambil sebarang tawaran berlakon, tahun lalu. Jadi, tahun ini saya seperti membalas dendam.

"Selepas menamatkan penggambaran nanti, saya akan kembali fokus kepada dunia muzik. Malah, album saya dijangka dapat menemui peminat pada hujung tahun ini," kata Kaka yang kini berada di Indonesia bagi menjalani penggambaran filem usaha sama produksi Malaysia dan negara jiran itu.

Menurut Kaka juga, dia akan melancarkan sebuah single terkini, Sibuk, dalam masa terdekat.

"Jika tiada aral, kami akan merakamkan video muziknya pada bulan puasa ini. Selain itu, saya juga bekerjasama dengan beberapa penyanyi tanah air. Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai perkara itu belum boleh dikongsikan ketika ini," katanya.

Menyentuh soal lakonan juga, Kaka memberitahu, dirinya kini turut terikat dengan penggambaran drama rantaian, Inai Yang Hilang, untuk siaran ntv7.

Berita Harian X