Isnin, 23 April 2018 | 3:41pm
BAHRI Uma tumpang gembira dengan perkahwinan adiknya, Nadia Aqilah dengan penerbit muzik, Duan.
BAHRI Uma tumpang gembira dengan perkahwinan adiknya, Nadia Aqilah dengan penerbit muzik, Duan.
NADIA Aqilah sah bergelar isteri kepada penerbit muzik, Duan 20 April lalu.
NADIA Aqilah sah bergelar isteri kepada penerbit muzik, Duan 20 April lalu.

Nadia Aqilah tangguh hasrat berbulan madu

KUALA LUMPUR: Seperti pasangan pengantin baharu lain, pelakon Nadia Aqilah Bajuri juga ingin meraikan permulaan detik manis sebagai suami isteri dengan berbulan madu di lokasi pilihan.

Namun, pelakon yang mula bertapak menerusi drama Emel Emelda dan Sindarella itu terpaksa akur, apabila masa tidak menyebelahinya dan suami, lantaran terikat dengan pelbagai komitmen kerja.

Abangnya yang juga pengarah drama terkenal, Bahri Uma berkata, pasangan itu terpaksa menunda perancangan mereka berbulan madu kerana terikat dengan pementasan teater adaptasi Macbeth, Datuk Seri.

"Teater itu akan dipentaskan dari 10 hingga 15 Mei ini di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) dan turut membabitkan pelakon, Redza Minhat. Sebagai antara pelakon utama, Nadia terpaksa memberikan komitmen penuh untuk memastikan kejayaan pementasan itu," katanya.

Bersyukur kerana adiknya itu akhirnya bertemu jodoh, Bahri berkata, Nadia, 32, yang pernah membawakan watak Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dalam pementasan teater muzikal, P Rameel dan biografi, Zaiton Ceritaku diijabkabulkan pada 20 April lalu.

Nadia dan pengarah muzik, Saiful Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Duan selamat disatukan sebagai suami isteri pada jam 10.15 pagi di Batu Pahat, Johor. Duan adalah anggota kumpulan Seven Collar T-Shirt.

Pasangan itu mula berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam pementasan teater muzikal P Ramlee musim kedua pada tahun 2008.

"Ketika itu, Duan menjadi pembantu muzik kepada Roslan Aziz. Hubungan mereka semakin rapat selepas sama-sama menjayakan beberapa urusan di bawah syarikat Enfiniti milik Datin Seri Tiara Jacquelina.

"Mereka juga pernah menjayakan bersama pertunjukan Citrawarna. Bagi pihak Nadia, saya ingin memohon maaf kerana dia tidak dapat membalas pertanyaan wartawan kerana masih sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu," kata Bahri.

Berita gembira perkahwinannya dikongsi Nadia menerusi laman Instagram dengan mencoretkan kata indah sempena hari bahagianya.

"Jangan tinggalkan diri ini di saat kebimbangan, kemurungan, hari terindah, berenang di tengah lautan serta hari yang sukar. Dan juga mencintai diri ini semata-mata, sebaliknya dengan impian besar saya sekali.

"Saya rasa kamu sudah berada di semua posisi itu. Jadi, semoga indahlah 'chords' dan melodi hidup kita," luah Nadia dalam catatan ringkas itu.

Berita Harian X