Khamis, 12 April 2018 | 9:35am
Hafiz Hamidun. - Foto Saddam Yusoff
Hafiz Hamidun. - Foto Saddam Yusoff

'Jangan jadi macam saya'

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun menasihatkan pasangan yang berumah tangga supaya mengambil pengajaran daripada episod kegagalan perkahwinannya dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Hafiz, 34, yang berpisah dengan usahawan produk kecantikan, Joy Revfa, Oktober lalu, juga bersedia memberi khidmat nasihat dan berkongsi pendapat dengan mereka yang berdepan kemelut dalam perkahwinan.

"Jangan jadi macam saya. Ketika berdepan kemelut rumah tangga dahulu, saya ingatkan diri ini kuat. Saya kerah segala tenaga yang ada untuk menyelesaikan setiap masalah sendiri.

"Tanpa saya sedar, ia memudaratkan diri. Saya hampir jadi gila kerana terlalu tertekan. Saya lupa sebenarnya, saya memerlukan sokongan dan tidak boleh memendam masalah bersendirian.

"Mujur saya cepat tersedar, lalu berjumpa pakar psikiatri untuk meminta pandangan. Sejak itu, saya banyak luangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan untuk pulihkan semula kekuatan yang hilang," katanya.

Bersyukur apabila episod hitam itu tidak lagi dibangkitkan, Hafiz berkata, setiap apa juga masalah antara dia dan bekas isterinya sudah diselesaikan dengan baik, serta mengikut saluran yang betul.

"Alhamdulillah, tiada lagi yang bertanya mengenai saya dan Joy. Saya juga tak mahu lagi antara kami ada masalah kerana semuanya sudah diselesaikan dengan baik.

"Saya berharap pihak lain juga sudah melupakan perkara ini. Tidak perlu diungkit atau dipanjangkan lagi kerana fokus saya kini hanya kerjaya," katanya.

Masih belum menutup pintu hati untuk menerima cinta baharu, Hafiz berkata, ketika ini dia ingin terlebih dahulu memberikan dirinya masa sebelum memikirkan soal berpacaran.

Hafiz berkata, banyak perancangan sedang disusun untuk dilunaskan sepanjang tahun ini termasuk mempromosikan single balada terbaru, Jangan Berhenti yang ditulisnya bersama komposer, Azlan Abu Hassan.

"Lagu ini saya jadikan sebagai motivasi untuk diri. Saya ambil masa dua minggu menyiapkan lirik lagu ini

untuk menggambarkan perjalanan yang pernah saya lalui.

"Ia bukan inspirasi daripada kisah perceraian saya kerana saya sudah lama tutup buku, sebaliknya rumusan daripada perjalanan menempuh hidup baharu," katanya.

Jangan Berhenti yang dilancarkan sejak akhir bulan lalu sudah mencecah 70,000 tontonan di YouTube.

Berita Harian X