Ahad, 25 Februari 2018 | 10:04pm
BEN Ali bersama tunangnya, Nadiyah Shahab. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BEN Ali bersama tunangnya, Nadiyah Shahab. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ben tak pernah kongkong Nadiyah

DIHAMBAT gosip kononnya bercinta dengan pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah, pertunangan Ben Ali dengan aktres kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab pada 13 Januari lalu bagai meletakkan noktah kepada spekulasi nakal membabitkan jejaka ini.

Membuka cerita, Ben yang berusia 28 tahun mengaku mula mengenali Nadiyah yang juga pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu memegang watak Natasha, kira-kira dua tahun lalu.

"Saya mengenali Nadiyah ketika menjayakan sesi fotografi untuk jenama seluar yang saya hasilkan di Singapura, dua tahun lalu. Ketika itu, Nadiyah datang sebagai salah seorang model yang terpilih untuk sesi fotografi berkenaan.

"Selesai tugasan itu, kami membawa haluan masing-masing. Enam bulan kemudian, Nadiyah datang ke Kuala Lumpur selepas ditawarkan tugas sebagai pengacara. Saya menjadi orang pertama yang dihubungi dan kami berjumpa semula.

"Daripada situlah hubungan kami menjadi lebih rapat. Saya mendorong Nadiyah untuk berlakon di Malaysia," katanya pada sesi fotografi menggandingkan dirinya dengan gadis yang menjadi pilihan hatinya itu di Balai Berita, baru-baru ini.

Merancang bernikah, November depan, Ben berkata, dia dan Nadiyah hanya mengikut rentak dalam menjalin hubungan cinta.

BEN mengenali Nadiyah ketika menjayakan sesi fotografi untuk jenama seluar yang dihasilkan Ben di Singapura, dua tahun lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BEN mengenali Nadiyah ketika menjayakan sesi fotografi untuk jenama seluar yang dihasilkan Ben di Singapura, dua tahun lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Dulu kami tidak pernah merancang apa-apa... Ini semua sudah jodoh, Insya-Allah. Daripada berkawan jadi rapat. Apatah lagi kelompok teman-teman kami adalah sama.

"Jadi, apabila sudah sampai ke tahap serius, kami putuskan mahu bertunang. Kami tidak mahu kecoh dalam soal peribadi.

"Tidak hairanlah, apabila saya berdiam diri, timbullah gosip kononnya saya menjalin hubungan dengan wanita lain termasuk Mira Filzah apabila saya membantu perniagaan tudungnya," katanya.

Ben berkata, mereka merancang diijabkabulkan sama ada pada 24 atau 25 November depan.

"Ini disusuli majlis resepsi seminggu kemudian. Cuma kami tidak pasti sama ada akan bernikah di Kuala Lumpur atau Singapura," katanya.

Tambah Ben, ketika mula datang ke Kuala Lumpur, Nadiyah melakukan kerja-kerja pengacaraan sebelum berlakon.

"Nadiyah lebih senang berbahasa Inggeris dalam perbualan hariannya. Cuma apabila sudah berada di Malaysia, dia makin membiasakan diri bertutur Bahasa Melayu bagi menembusi pasaran drama di negara ini," katanya.

Tubuh syarikat urus artis

Mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan, Ben memberi tumpuan penuh kepada perniagaannya.

PELAKON, Ben Ali. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PELAKON, Ben Ali. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sejak bulan lalu, Ben menubuhkan syarikat pengurusan artis, My Management yang mengendalikan kerjaya tunangnya dan dua bakat baharu iaitu Ikmal Amry dan Ezaidi Aziz.

"Ketika berlakon dulu, saya banyak terbabit dengan drama terbitan Syarikat Zeel Productions milik Fadzil Teh.

"Jadi sekarang saya banyak terbabit dengan pra produksi seperti memilih dan membekalkan pelakon untuk syarikat terbabit.

"Namun, jika ada watak belum dapat diisi, saya jadi 'bidan terjun' dalam mengisi kekosongan," katanya yang turut bekerjasama dengan syarikat produksi Suhan Movies milik Datuk Rosyam Nor.

Ditanya mengapa membuat keputusan berundur daripada dunia lakonan, Ben berkata;

"Saya tidak boleh fokus dengan dunia lakonan... Cukuplah. Letih sebenarnya menjadi pelakon.

"Tahun lalu misalnya, saya banyak terima tawaran. Semuanya saya tolak dan sebaliknya melobi agar artis naungan sendiri diberi peluang," katanya yang pernah membintangi sebuah filem berjudul Dubai My Love.

Percaya rezeki Tuhan

Mendekati Nadiyah, gadis berdarah campuran Arab dan Jawa ini percaya kepada rezeki andai faktor status diri menjadi penentu dirinya terus menjadi pilihan penerbit.

"Saya percaya kepada rezeki. Kalau tak ada rezeki dalam lakonan, insya-Allah Tuhan akan beri dalam cara lain. Mana tahu, saya boleh mengacara lagi selepas ini," katanya ketika ditanya apakah dirinya tidak bimbang 'kelam' selepas berkahwin.

Teruja bercerita mengenai karier seninya, Nadiyah berkata, selepas berlakon di Malaysia, dia mula dihujani tawaran daripada syarikat produksi di Singapura.

"Saya akan membintangi drama Kek Untuk Kapten dan diberi watak utama. Ini lakonan pertama saya di Singapura.

"Terlanjur perlu menjalani penggambaran di sana, ada baiknya saya melunaskan baki pengajian bidang undang-undang yang sudah lama tertunda.

"Sepatutnya, saya tamatkan pengajian dua tahun lalu. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu habiskan program itu tahun ini," katanya yang menggunakan kesempatan yang ada untuk membuat persiapan majlis perkahwinan.

Ditanya mengenai majlis perkahwinan yang impiannya, Nadiyah berkata, dia hanya mahu melakukan apa yang wajib.

"Dulu adalah saya berangan apa yang saya mahu dalam majlis kahwin. Namun sekarang, saya hanya fikir apa yang wajib.

"Saya lebih banyak memikirkan mengenai apa yang berlaku selepas kahwin. Misalnya, saya lebih teruja hendak membeli rumah atau kediaman atas tanah. Saya impikan rumah yang ada laman dan mahu keluarga saya berkumpul ramai-ramai.

"Jadi, saya kena kerja kuat. Saya tidak fikir mahu berbelanja besar untuk majlis kahwin. Saya hanya fikirkan perkara penting selain mengutamakan keluarga," katanya.

BEN dan Nadiyah merancang untuk bernikah pada November depan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BEN dan Nadiyah merancang untuk bernikah pada November depan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Miliki hobi sama

Ditanya mengenai bakal suaminya, Nadiyah selesa menganggap Ben seperti teman baiknya.

"Dia menjadi insan terpenting dan berjasa dalam hidup saya hingga membuka peluang lakonan di Kuala Lumpur.

"Apa yang saya mahu buat, dia juga turut serta... Macam 'buddy'. Misalnya, saya obses dengan apa saja yang berkait dengan Harry Porter dan Ben juga mula mengenali karakter ini.

"Sama juga dengan siri Game Of Thrones (GOT) yang saya minati, Ben pun 'layan'. Saya bersyukur memiliki kawan yang bakal dibuat teman sepanjang hayat... Insya-Allah," katanya.

Apa yang penting, tambah Nadiyah, dia tidak rasa terkongkong apabila kehidupannya berpusar kepada Ben yang kini mengurus kerjayanya.

"Saya tidak pernah rasa terkongkong apabila diuruskan Ben. Ia lebih memudahkan kerana semuanya diatur baik untuk saya," katanya.

Info

  • Ben dan Nadiyah mula berkenalan kira-kira dua tahun lalu.
  • Bertunang pada 13 Januari lalu dan merancang berkahwin November depan.
  • Ben tidak lagi berlakon sebaliknya fokus kepada syarikat pengurusan artis, My Management.
  • Nadiyah berlakon di Malaysia sejak tahun lalu melalui drama pertama iaitu Encik Suami Mat Salih Celup yang diterajui Daler Yusuf dan Nelydia Senrose.
  • Nadiyah dibenci dengan watak antagonis, Tengku Natasha menerusi drama Lafazkan Kalimah Cintamu.
Berita Harian X