Khamis, 15 Februari 2018 | 4:46pm
PELAKON, Nur Fazura bersama suami, Fattah Amin, ketika menghadiri majlis pratonton filem Janji Zehan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Eizairi Shamsudin
PELAKON, Nur Fazura bersama suami, Fattah Amin, ketika menghadiri majlis pratonton filem Janji Zehan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Tema kayangan jadi pilihan Fazura, Fattah

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, sepakat memilih konsep 'fairy tale' atau kayangan sebagai tema majlis resepsi mereka.

Majlis yang diadakan khusus untuk keluarga dan kenalan rapat kedua-dua selebriti terbabit bakal berlangsung pada 25 Februari ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Menurut Fazura, 34, sebuah lagi majlis membabitkan peminat yang akan diadakan pada 11 Mac depan pula bertemakan tradisional dengan sedikit sentuhan fantasi.

"Bagi majlis resespi pada 25 Februari nanti, ia akan dibuat secara tertutup atas permintaan keluarga. Hanya keluarga terdekat, saudara mara dan kenalan rapat akan diundang.

"Manakala untuk majlis pada 11 Mac depan, kami memilih tema tradisional. Selain peminat, saya juga akan mengundang lebih ramai teman untuk menghadiri majlis terbabit. Mengikut perancangan, kami nak adakan tarian Poco-poco untuk memeriahkan lagi majlis ini," katanya kepada BH Online.

Mengulas persiapan dilakukannya menjelang hari penuh bermakna itu, Fazura mengaku terpaksa mencuri-curi masa disebabkan jadual kerja yang padat.

"Saya memang agak terkejar-kejar juga untuk melakukan persiapan berikutan pada masa sama, saya terikat dengan penggambaran filem. Disebabkan majlis resepsi ini dan faktor kesuntukan masa juga, saya terpaksa menolak tawaran berlakon di Indonesia," ujar pemegang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini.

Pasangan yang digandingkan dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella, dan telefilem, Wanita Terindah, ini melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 November lalu.

Berita Harian X