Rabu, 10 Januari 2018 | 7:02pm
BAZLI (kiri) bersama Najdi. - Foto: Khairul Azhar Ahmad
BAZLI (kiri) bersama Najdi. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

Bazli mahu Najdi kekal bersama UNIC

KUALA LUMPUR: Anggota UNIC, Bazli Hazwan Che Osman, menyambut baik hasrat teman sekumpulan, Najdi, untuk bertemu empat mata bagi meleraikan isu perselisihan faham antara mereka.

Sebagai anggota lama kumpulan itu, Bazli, 33, berkata dia sendiri tidak mahu melihat perkara sedemikian mengganggu perjalanan seni UNIC.

"Kalau dia (Najdi) cakap nak jumpa, ia nampaknya bererti dirinya sudah kembali tenang. Saya sendiri pun tak mahu masalah sebegini berpanjangan.

"Saya berharap, dia akan meneruskan perjuangan yang dimulakan, sekali gus membawa gelombang kejayaan ketika memenangi pertandingan Gema Gegar Vaganza ke peringkat seterusnya.

"Insiden bergaduh dan merajuk sesama anggota kumpulan adalah perkara biasa. Ia jadi pengajaran terbesar buat Najdi. Saya, umpama abang yang sudah 15 tahun berada di persada seni, hanya mahu yang terbaik untuk dirinya. Saya tegas bersebab, seperti menegur dan membimbing adik yang disayangi," kata Bazli.

Selain berharap Najdi menarik balik keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan itu, Bazli juga mahu melengkapkan persaingan mereka pada pertandingan Anugerah Nasyid 2017 (AN2017), Sabtu ini.

"Saya berharap dia terus kekal bersama UNIC. Persiapan bagi menghadapi pertandingan, Sabtu ini, pun perlu diteruskan.

"Insya-Allah, siapa tahu malam ini kami akan berjumpa untuk berlatih bersama? Cuma setakat ini dia belum menghubungi saya atau menghantar sebarang pesanan," katanya.

Menurut Bazli, apa yang berlaku bagai petanda supaya masing-masing tidak leka dengan populariti dan kemasyhuran dikecapi.

"Ini semua menjadi ruang untuk kami muhasabah diri," katanya.

Terdahulu, ketika bercakap kepada BH Online, Najdi atau nama penuhnya Wan Najdi Wan Mohd Noh, 26, meluahkan hasrat mahu bertemu rakan sekumpulannya itu.

"Mungkin saya yang terlalu emosi. Saya belum berbincang dengan UNIC mengenai semua ini. Lagipun, mereka sibuk membuat persiapan untuk (AN2017) Sabtu ini.

"Saya sendiri sedang mencari ruang untuk meminta maaf daripada Bazli. Dengan apa yang berlaku, seolah-olah saya memburukkan dirinya.

"Walaupun banyak kali kena marah dengannya, saya memang hendak berjumpa dengan Bazli. Selagi tak jumpa, hati saya takkan tenang," katanya.

Selain mereka berdua, UNIC turut dianggotai oleh Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (Fakhrul).

Berita Harian X