Selasa, 5 Disember 2017 | 7:04pm

Saya marah, kecewa - Ayda Jebat

PELAKON dan penyanyi, Ayda Jebat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON dan penyanyi, Ayda Jebat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, menyuarakan rasa terkilan dengan pihak yang sanggup membuat siaran secara langsung filem sulung lakonannya, Pinjamkan Hatiku, menerusi laman sosial menggunakan peranti telekomunikasi.

Kata Ayda, perasaannya bercampur baur antara marah dan kecewa kerana tindakan itu ibarat mengkhianati karya yang dilahirkan secara komited dan susah payah pihak produksi.

"Bayangkan, banyak perkara yang kami tanggung sepanjang penggambaran filem ini, termasuk kehilangan seorang kru yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran.

"Bukan itu saja, kami terpaksa berjalan jauh dan seawal jam 4 pagi bagi mendapatkan hasil terbaik. Semudah itu karya kami dikhianati," katanya kepada BH Online.

Ayda memberitahu, pengarah dan penerbit filem terbabit sudah pun membuat laporan polis berhubung perkara itu, semalam, selepas mendapati tindakan berkenaan dibuat oleh seorang individu menerusi Facebook.

Beliau turut merayu agar semua pihak bersama-sama membanteras kegiatan sedemikian kerana ia mampu membunuh industri filem tempatan.

"Saya difahamkan, sebuah lagi filem turut mendapat nasib yang sama dan pelaku telah ditahan," katanya.

Dalam pada itu, Ayda bersyukur dan gembira kerana kutipan filem yang menggandingkan dirinya dengan Shaheizy Sam serta Farid Kamil itu sudah mencecah RM1 juta selepas empat hari tayangan.

BARISAN pelakon Pinjamkan Hatiku pada malam gala Pinjamkan Hatiku di GSC, Pavilion. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
BARISAN pelakon Pinjamkan Hatiku pada malam gala Pinjamkan Hatiku di GSC, Pavilion. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua yang sudi menonton filem ini. Paling bermakna, kami bukan saja mendapat sokongan peminat tetapi juga rakan artis dan media.

"Saya juga terharu kerana ada yang menonton lebih daripada sekali dan mengakui mereka menangis kerana tersentuh hati dengan kisah diketengahkan dalam Pinjamkan Hatiku," katanya.

Filem cinta sarat emosi berkenaan mula menjengah pawagam pada 30 November lalu.

Berita Harian X