Ahad, 26 November 2017 | 9:47pm
ENOT atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah. - Foto Asyrah Hamzah
ENOT atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah. - Foto Asyrah Hamzah

'Kecam umpama saya tiada perasaan' - Enot

TIGA tahun lamanya hidup pelakon dan pelawak, Enot diuji. Berdepan cabaran membesarkan dua anak remaja dengan status ibu tunggal, ditambah dugaan terbesar tatkala disahkan menghidap barah usus peringkat kedua, Enot bagai hilang punca.

Tidak cukup itu, tindakannya berterus-terang mengenai penyakit yang dideritai disangkal segelintir pihak.

Enot tidak menyangka ada insan tidak berhati perut mendakwa dirinya 'ratu drama' apabila mengaku sakit demi menagih simpati. Enot yang pernah membintangi drama Mat Despatch ini juga dituduh penipu di laman sosial.

Namun, Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah, reda dengan ujian diterima. Ibu kepada Andriana Balqis, 16, dan Ariana Qaseh Qistina, 10, ini mengumpul kekuatan untuk keluar dari kepompong derita. Gigih mencuba pelbagai rawatan termasuk secara tradisional, Enot bersyukur akhirnya penyakit barah hilang dengan kuasa Tuhan.

Bertemu Enot yang bakal mencecah usia 39 tahun awal bulan depan, pelawak yang kali terakhir muncul dalam drama Bibik Bibikku yang disiarkan TV3, tahun lalu, meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

BEROLEH semangat baharu apabila penyakit barah sudah hilang, Enot membuang jauh semua kisah hitam daripada ingatan. - Foto Asyraf Hamzah
BEROLEH semangat baharu apabila penyakit barah sudah hilang, Enot membuang jauh semua kisah hitam daripada ingatan. - Foto Asyraf Hamzah

"Saya pernah terduduk kesakitan, tiga tahun lalu. Hanya Tuhan tahu getir hati saya ketika itu.

"Orang mengecam saya seperti saya tiada perasaan. Anak pergi sekolah pun malu apabila saya terus diburukkan. Saya tangani semua kesusahan itu sendirian. Ada yang cakap, kenapa tak pergi minta bantuan?

"Saya cakap kepada diri sendiri, kalau fikir susah yang ditanggung, ada lagi orang lain yang lebih susah daripada kita. Selagi saya boleh bangun dan buat apa saja kerja, saya takkan minta simpati atau bantuan sesiapa.

"Selagi masih ada kudrat.. selagi itu saya akan bekerja, jauh sekali saya nak beri nombor akaun bank untuk meminta derma atau sumbangan sesiapa.

"Sakit atau sebaliknya, dicaci atau tidak, saya hanya mampu menyebut alhamdulillah," kata Enot kepada BH Plus.

Beroleh semangat baharu apabila penyakit barah sudah hilang, Enot membuang jauh semua kisah hitam daripada ingatan.

"Allah maha kaya... Saya diberi semula rezeki yang melimpah. Jangan tanya lagi mengenai kesakitan, ia sudah berakhir. Cukup saya tutup buku kesakitan dan kesusahan ini.

"Saya mahu teruskan apa yang ada di depan saya... Hendak buka buku baharu. Insya-Allah diharap keindahan yang saya sedang nikmati akan berterusan pada tahun depan dan seterusnya," katanya.

Akui Enot, apa yang dilaluinya, mematangkan diri.

"Selain dua anak yang menjadi kekuatan saya, cacian dan makian orang membuatkan saya jadi lebih kebal.

"Terlalu banyak tohmahan yang tidak betul. Saya bangkit untuk buktikan apa yang diperkatakan tidak benar. Apa yang dicerca selama ini termasuk tuduhan sanggup berpura-pura sakit adalah tak masuk akal," katanya,

PELAKON dan pelawak, Enot. - Foto Asyrah Hamzah
PELAKON dan pelawak, Enot. - Foto Asyrah Hamzah

Sedar siapa lawan, kawan

Teruk dikecam netizen, Enot mengaku dirinya fobia untuk berkawan.

"Saya jadi lebih berhati-hati memilih kawan. Malah, saya cuba mengelak bertemu kawan baharu dan lebih senang duduk di rumah.

"Saya fobia... Di hadapan kita, bukan main manis, di belakang lain pula. Saya lebih banyak berkawan dengan anak. Namun, saya bersyukur ada kawan lama yang masih berhubung termasuk Didie Alias," katanya.

Sejak 'menghilangkan' diri, Enot mengaku dia kurang menerima tawaran berlakon.

Mahu terus optimis, Enot yang sudah berjaya mengurangkan berat badan, yakin tahun depan akan memberi sinar baharu buat dirinya.

"Saya bukan meminta simpati, saya memang rindu nak berlakon. Mana tahu dapat jadi heroin bergandingan dengan Zul Ariffin pula," katanya berseloroh.

Tambah Enot, jika boleh, dia mahu mengelak watak komedi yang sering ditawarkan kepadanya selama lebih 16 tahun berkecimpung dalam arena seni.

"Saya nak cuba juga watak yang lebih serius atau psiko. Saya nak cabar diri ke tahap lain.

"Tapi kalau masih ada kepercayaan untuk saya memegang watak komedi, takkan saya hendak tolak rezeki.

"Cuma jika boleh, saya mahu mengelak. Jadi sekarang saya perlu dekati semula teman-teman dari syarikat produksi dan penerbit. Saya mahu membuktikan saya sudah tidak sakit dan boleh bekerja," katanya.

DUTA Lemonex, Enot. - Foto Asyraf Hamzah
DUTA Lemonex, Enot. - Foto Asyraf Hamzah

Berat badan susut lebih 30 kg

Selepas enam bulan menjadi duta produk pelangsing badan, Lemonex, Enot mula keluar bertemu orang ramai bagi meluaskan rangkaian.

Mengenai penampilannya sekarang, Enot berpuas hati dengan produk berasaskan buah-buahan itu.

"Selama tidak tawaran berlakon, alhamdulillah, rezeki saya murah dengan menjual produk ini.

"Berat badan saya menyusut daripada 129 kilogram (kg) kepada 95 kg. Sejak berat badan berkurangan, saya lebih senang menunaikan solat. Hendak pakai kasut platform pun boleh. Dulu saya hanya pakai kasut but.

"Selain itu, kaki saya tidak lagi lenguh dan bermasalah lagi," katanya.

Enot berkata, dia juga bertambah yakin dengan dirinya sekarang.

"Ibaratanya, kalau hendak jadi pengacara pun saya berani. Kalau dulu gementar dan takut bercakap depan orang. Saya juga menjaga pemakanan di mana selepas jam 7 malam, saya elak juadah berat," katanya.

Enot berkata, dia juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjadi perancang majlis dan menjual sambal bilis petai hijau.

Info

  • Pernah berkahwin dua kali. Bercerai kali pertama pada 2007 disusuli 2013.
  • Bakal menyambut usia 39 tahun pada 3 Disember ini.
  • Dua anak perempuannya adalah hasil perkahwinan pertama.
  • Antara drama bersiri dibintangi termasuk Mat Despatch, Dalam Hati Ada Cinta dan Odah Drebar.
  • Pernah merangkul trofi Pelakon Harapan pada Anugerah Skrin (ASK) 2003.
Berita Harian X