Khamis, 23 November 2017 | 7:21pm

Fattah, Fazura nafi bernikah, akui sudah bertunang

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Fattah Amin, 27, dan Nur Fazura, 34, mengesahkan mereka selamat mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu di kediaman keluarga selebriti wanita itu di Petaling Jaya, Selangor.

Fattah berkongsi, rombongan keluarganya berjumpa wakil Fazura pada tarikh berkenaan untuk merisik dan bertunang, sekali gus menepis dakwaan mereka mendirikan rumah tangga sebelum berlepas ke tanah suci.

"Alhamdulillah, proses merisik dan bertunang berjalan dengan lancar apabila pihak keluarga saya ke rumah keluarga Fazura," katanya dalam sidang media khas yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Pelakon lelaki itu turut menafikan mereka sudah pun bernikah sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

"Kami juga tidak bernikah di Makkah," kata bintang yang popular dengan drama Suri Hati Mr Pilot itu.

Majlis yang diadakan di kediaman nenek Fazura pada 14 November lalu pula, katanya adalah majlis doa selamat sempena pemergian mereka ke Makkah.

Pasangan selebriti itu muncul pada sidang media terbabit bagi menunaikan janji sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menjelaskan segala desas-desus mengenai pertunangan dan pernikahan mereka.

Fattah turut menjelaskan, mereka kini sedang merancang majlis pernikahan selain dua acara resepsi, masing-masing untuk keluarga dan media serta peminat.

Pasangan terbabit baru saja kembali dari Makkah, hari ini, selepas lebih seminggu berada di Arab Saudi bersama keluarga masing-masing.

FATTAH Amin dan Nur Fazura mengesahkan mereka selamat mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu di kediaman keluarga selebriti wanita itu di Petaling Jaya, Selangor.- Foto NSTP
FATTAH Amin dan Nur Fazura mengesahkan mereka selamat mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu di kediaman keluarga selebriti wanita itu di Petaling Jaya, Selangor.- Foto NSTP
Berita Harian X