Selasa, 8 Ogos 2017 | 5:33pm
Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

'Sila hormat karya insan lain' - Syamsul Yusof

KUALA LUMPUR: Sutradara Syamsul Yusof, menjelaskan tindakannya memuat naik nota yang mengaitkan nama pelakon, Redza Minhat, di akaun Twitter baru-baru ini, bukan kerana berlagak terutama selepas memenangi trofi Pengarah Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-57.

Sebaliknya, tegas Syamsul, 33, ia bertujuan menyedarkan bintang Pisau Cukur itu supaya tidak lagi memandang rendah atau mempersoalkan kejayaan orang lain seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Ia bukan soal lupa diri, tetapi lebih kepada (pesanan) jangan ingat kita lebih bagus daripada orang lain. Jangan pernah rasa kita lebih hebat dan orang lain semuanya gagal.

"Prinsip saya mudah saja, kalau sesebuah filem itu berjaya, kita kena hormat. Cara yang saya lakukan itu hanyalah untuk menyedarkan dirinya. Saya harap dia faham.

"Cuba contohi pengarah hebat lain seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba. Walaupun beliau menghasilkan filem seni, tetapi tak pernah menghakimi karya orang lain," kata anak kepada produser, Datuk Yusof Haslam itu kepada BH Online.

Syamsul mendakwa, sebelum ini Redza banyak mempertikaikan kejayaan filem arahannya, termasuk karya lain yang cemerlang di laman sosial, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang.

"Saya nak tanya, berapa filem dia sudah hasilkan? Tak tahulah kalau dia berada pada kedudukan saya sekarang, bagaimana agaknya dia menilai hasil kerja orang lain?

"Kalau dia rasa apa yang dilakukannya itu atas dasar hak kebebasan bersuara atau sekadar mengkritik, apa perasaannya jika saya buat perkara sama terhadap karyanya?," katanya.

Mengulas pendapat netizen yang menganggap tindakannya agak keterlaluan dan berunsur serangan di media sosial, pengarah filem Munafik terbabit mengaku dirinya tidak dapat mengawal emosi ketika itu.

"Saya tahu, seelok-eloknya saya perlu bersabar dengannya, tetapi saya rasa cara ini adalah yang terbaik untuk menyedarkan dirinya," kata Syamsul yang bakal muncul dengan filem Abang Long Fadil 2 di pawagam, mulai 24 Ogos ini.

Berita Harian X