Rabu, 28 Jun 2023 | 12:21pm
Faiz, Chong dan Danush mengatur rancangan mengembalikan keharmonian dan keadilan kampung halaman mereka.
Faiz, Chong dan Danush mengatur rancangan mengembalikan keharmonian dan keadilan kampung halaman mereka.

Misi Aidiladha erat hubungan tiga sekawan

HARI Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim mentaati perintah Allah S.W.T.

Sempena Hari Raya Aidiladha ini, platform penstriman Media Prima, Tonton membawakan kisah yang menarik mengenai kesetiaan dan persahabatan dalam sebuah telefilem "3 Sekawan: Misi Aidiladha".

Kisah bermula apabila Fikry lakonan Redza Rosli dan Shiha lakonan Sherry Ibrahim yang bersiap sedia untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini terpaksa meninggalkan anak lelaki mereka, Faiz lakonan Umar Shakur di bawah jagaan datuknya, Tokwan lakonan Kazar Saisi.

Turut membintangi telefilem ini, kanak-kanak cilik Rudtra Manivanan sebagai Danush dan Camans Kong sebagai Chong yang merupakan rakan-rakan Faiz semasa kecil dan mereka bertemu semula ketika Faiz pulang ke kampung halamannya.

Terinspirasi oleh tazkirah Tokwan mengenai belas kasihan terhadap haiwan, ketiga-tiga sahabat ini membuat keputusan untuk melindungi haiwan ternakan kampung daripada menjadi mangsa sembelihan pada Hari Raya Aidiladha.

Namun, pada hari yang dirancang, mereka terkejut apabila mendapati haiwan-haiwan itu hilang, didakwa dicuri oleh Geng Pangkin Parit yang terkenal. 

Masalah mula timbul apabila penduduk kampung menuduh mereka menyembunyikan haiwan-haiwan berkenaan. 

Dalam perjalanan mereka membersihkan nama, mereka berdepan dengan cabaran dan ujian apabila bertemu dengan sekutu dan musuh yang tidak diduga.

Mereka belajar erti sebenar kesetiaan, pengorbanan, dan ikatan persahabatan yang tidak dapat diputuskan dalam misi menemui semula haiwan-haiwan yang hilang.

Sertai Faiz, Danush, dan Chong dalam pengembaraan yang penuh epik, persahabatan, keberanian, dan detik-detik mencabar ketika mereka berusaha untuk mengembalikan haiwan-haiwan yang hilang. 

Mampukah ketiga-tiga sahabat ini menemui semula haiwan-haiwan yang hilang, membersihkan nama mereka sekali gus mengembalikan keharmonian dan keadilan kepada kampung halaman mereka?

Jangan terlepas untuk menyaksikan telefilem "3 Sekawan: Misi Aidiladha" bermula 28 Jun ini di platform penstriman Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Berita Harian X