KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan & The Typewriter menepis dakwaan rumah tangganya goyah gara-gara tidak berkongsi foto bersama isteri dalam media sosial.
Azlan atau Nor Azlan Rosle Sallehudin menjelaskan tindakannya tidak berkongsi foto bersama isteri adalah demi menjaga privasi rumah tangga.
"Sebelum ini lagi saya didik mengenai privasi. Setakat ini, rumah tangga okay sahaja, tiada masalah.
"Saya rasa isteri saya pun tidak mahu (kongsi gambar dalam media sosial).
"Mungkin cara saya mengajar isteri saya di mana dari awal lagi, saya beritahu, yang bekerja adalah saya. Dia ada tugasnya sendiri. Dia buat kerja dia, begitu juga saya," katanya menerusi temu bual bersama program Melodi TV3, baru-baru ini.
Tambah penyanyi lagu Jangan Khianati Aku ini, dia mempunyai akaun media sosial peribadi i untuk tatapan keluarga sahaja.
"Saya fikir soal hubungan rumah tangga ini, ada perkara perlu disimpan dan ada yang perlu ditunjuk... Saya tidak terlalu terbuka sangatlah.
"Saya ada akaun peribadi khas untuk keluarga. Zaman sekarang itulah album gambar kita. Hubungan rumah tangga okay, semuanya serba cukup, biasalah asam garam rumah tangga.
"Kalau tidak bergaduh macam bukan rumah tangga pula. Sebagai suami isteri kena bertolak ansurlah, itu kunci yang baik untuk dapatkan keluarga elok.
"Setakat ini, okay sahaja. Orang rumah saya suruh kahwin lagi satu pula," seloroh Azlan.
Azlan mendirikan rumah tangga dengan Normala Hassan pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – XTRA.