LOS ANGELES: Setahun selepas ditampar oleh pelakon Will Smith dalam siaran langsung televisyen pada acara anugerah Oscar, Chris Rock akhirnya membalas dendam semalam dalam satu rancangan komedi yang disiarkan secara langsung di Netflix.
Pelawak itu menuduh bintang Hollywood itu sebagai 'marah memilih orang' apabila dia bertindak balas terhadap sindiran mengenai kepala Jada Pinkett Smith yang dicukur botak.
Chris juga menuduh Will hanya berani terhadap orang yang lebih kecil apabila mahu melepaskan kemarahan kerana isterinya berkelakuan curang.
"Will Smith bersikap 'memilih kemarahan', semua orang yang benar-benar tahu,juga mengetahui bahawa saya tiada kaitan dengan isu itu," katanya merujuk kepada kecurangan Pinkett Smith, pada siaran langsung di Netflix itu.
Rock sedang mengacarakan Oscar di Hollywood Mac lalu dan bergurau mengenai kepala Pinkett Smith yang botak.
Will, yang juga bintang 'Men in Black', kemudian naik ke atas pentas dan menampar muka pelawak itu dengan kuat, sebelum kembali ke tempat duduknya dan menempelaknya menggunakan bahasa yang kasar.
Beberapa minit kemudian, Smith dianugerahkan Oscar sebagai pelakon terbaik untuk peranannya dalam filem 'King Richard'.
Dia kemudiannya meminta maaf kepada Rock, tetapi diharamkan daripada menghadiri acara Oscar selama sedekad.
Rock dipuji atas tindak balas yang rasional pada malam itu dan berdiam diri mengenai isu terbabit sejak itu, sehinggalah rancangan langsung dari Baltimore semalam, di mana dia melepaskannya semua perasaan terpendamnya.
"Orang ramai bertanya 'adakah ia sakit?'. Masih sakit (ditampar).
"Will Smith jauh lebih besar daripada saya. Will Smith melakonkan watak Muhammad Ali dalam sebuah filem. Anda fikir saya sertai uji bakat untuk itu?" katanya.
Pelawak itu berkata, Smith diejek secara meluas selepas episod podcast isterinya di mana pasangannya itu bercakap mengenai hubungan sulitnya dan bagaimana ia mempengaruhi Will.
"Kenapa awak perlu buat begitu? Ramai orang tertipu, tetapi pasangan berkuasa Hollywood itu saja yang membincangkannya secara terbuka dengan cara sebegitu.
"Semua orang di dunia memanggil Will sebagai jalang dan isterinya seorang pemangsa. Semua orang memanggilnya jalang," katanya, yang turut cuba mengucapkan rasa simpati selepas berita mengenai hubungan sulit itu diketahui umum.
Rock berkata, permusuhannya dengan Pinkett Smith berpunca sejak beberapa tahun sebelum ini apabila dia diminta untuk memboikot acara Oscar kerana suaminya tidak dicalonkan untuk filem 'Concussion' pada 2015.
"Dia berkata... seseorang harus berhenti kerja kerana suaminya tidak dicalonkan untuk 'Concussion'. Kemudian (Smith) memberi saya 'concussion' (gegaran otak).
"Apa maknanya ini? Memang saya membuat lawak mengenainya. Siapa yang peduli? Itulah hakikatnya, dia memulakan semua ini, saya hanya mengakhirinya. Tiada siapa pun yang menjadikannya (Pinkett Smith) mangsa," katanya.
Rock, yang kadang-kadang kelihatan benar-benar marah, berkata sebelum tahun lalu, dia sentiasa menyayangi Smith, pertama sebagai penyanyi rap dan kemudian sebagai pelakon.
"Dia membuat beberapa filem yang hebat. Saya menyokong Will Smith dengan sepenuh hati," katanya yang kini mengakui menyokong watak yang membelasah watak Will dalam filem terbarunya, 'Emancipation'.
Oscar tahun ini akan diadakan pada 12 Mac depan. - AFP