Jumaat, 3 March 2023 | 6:52pm

Kerajaan teliti isu royalti pemuzik termasuk waris P Ramlee

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta untuk meneliti isu royalti pemuzik.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, perkara itu diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet hari ini.

"Perdana Menteri minta KKD dan KPDN untuk meneliti isu royalti bagi pemuzik termasuk juga waris P Ramlee.

"Ini kerana ia satu isu yang memberi kesan kepada bukan hanya waris keluarga Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tetapi juga pemuzik yang lain.

"Minggu depan saya bersama Menteri KPDN akan mengadakan satu mesyuarat dan membentuk satu jawatankuasa untuk kita teliti aspek membabitkan pembayaran royalti serta pembangunan industri muzik," katanya pada sidang media hari ini.

Selasa lalu, KPDN memberi jaminan melihat secara holistik permasalahan membelenggu industri muzik, termasuk isu agihan royalti dan hak cipta melalui penubuhan jawatankuasa bertindak.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub membuat pengumuman itu selepas meneliti isu dan syor dibangkitkan pada program Daya Kreatif: Townhall Pengkarya (Penggiat Muzik Rakaman) anjuran aktivis seni muzik, Langkah Baru yang dihadiri lebih 80 penggiat seni di Putrajaya.

Salahuddin berkata, selain wakil kementerian, jawatankuasa bertindak yang bakal ditubuhkan itu turut disertai penggiat industri rakaman iaitu komposer, penyanyi dan syarikat rakaman.

P Ramlee - Gambar fail
P Ramlee - Gambar fail
Berita Harian X