Khamis, 19 Januari 2023 | 12:04am
Lima peminat muda Money Matters dari UKM bergambar bersama Kelvin dan Azaria.
Lima peminat muda Money Matters dari UKM bergambar bersama Kelvin dan Azaria.

'Money Matters' raih perhatian luar jangka daripada peminat muda

PETALING JAYA: Program bual bicara berbentuk perniagaan dan kewangan disiarkan di stesen televisyen sering dikaitkan dengan usahawan dan tokoh terkemuka perniagaan, begitu juga 'Money Matters, satu daripada jenama program terbitan TV3.

Namun program membicarakan mengenai 'ringgit dan sen' ini mula meraih perhatian penonton muda, yang kebiasaannya lebih ramai menjurus kepada program berbentuk hiburan.

Lima pelajar dalam usia lingkungan 20-an dari Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi antara peminat setia Money Matters.

Ahmad Idham Ahmad Hamzah, 20, Intan Sabrina Hanapi, 20, Preti Gill, 21, Fazrinah Sadiq, 23, dan Kuroshini Saravanan, 21, masing-masing pelajar tahun dua Fakulti Komunikasi dan Media UKM yang akan menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun lagi.

Mereka hanya mula mengikuti Money Matters tahun lalu, apabila program bual bicara itu kembali bersiaran di TV3 selepas 'berehat' selama dua dekad, namun terus menjadi peminat.

Baru-baru ini, mereka berkenaan menghubungi seorang daripada pengacara Money Matters, Zahir Kelvin Ong Abdullah, sebelum dijemput melawat Sri Pentas di Bandar Utama, di sini, studio utama Money Matters.

Fazrinah dari George Town, Pulau Pinang berkata dia mengetahui mengenai program Money Matters tahun lalu dan bapanya yang juga seorang ahli perniagaan memberi galakan untuk menontonnya kerana ia mendidik, bermaklumat dan mesra orang biasa."

Sejak menonton program bual bicara berdurasi setengah jam itu, katanya, dia memperoleh banyak ilmu berguna mengenai ekonomi, perniagaan dan kewangan.

"Pengacara kegemaran saya ialah Kelvin, yang mempamerkan karisma dan keterampilan, manakala Azaria Tagaya Norio Tagaya banyak pengetahuan.

"Setiap kali menonton rancangan itu, saya tidak sabar untuk mendengar dan belajar daripada mereka," katanya.

Fazrinah, yang pernah menjalani latihan industri di BERNAMA TV antara 2019 hingga 2020, bercita-cita menjadi pengacara televisyen dan berhasrat melakukan 'voice over' untuk program pendidikan.

Menarik dan jelas

Kuroshini, dari Johor Bahru pula berkata, pada mulanya dia bukan peminat program berunsur perniagaan, namun tertarik dengan Money Matters yang menggunakan gaya bahasa jelas dan menarik dipamerkan pengara yang hebat, berketerampilan dan merendah diri ketika menontonnya.

Katanya, Money Matters sebuah program yang menitikberatkan bukan sahaja komunikasi dua hala antara pengacara bersama tetamu undangan, bahkan penglibatan dengan penonton.

"Program ini amat bernilai kepada semua penonton yang tidak biasa dengan perniagaan dan kewangan. Ia memainkan peranan penting dalam menarik minat orang biasa dalam hal perniagaan, dan saya seorang daripada mereka," katanya.

Preti, dari Kuala Terengganu mengakui anak muda tidak banyak membaca dan sering melayari media sosial dan televisyen untuk mendapatkan maklumat serta hiburan atau kedua-duanya sekali.

"Saya suka menonton program berita dan dokumentari mengenai pelbagai topik, tetapi perniagaan bukanlah satu daripadanya sehinggalah saya menonton program Money Matters," katanya.

Tambahnya, dia boleh mendengar dengan mudah apabila Kelvin atau pengacara lain menyampaikan maklumat penting menerusi telefon pintar ketika melakukan kerja rumah seperti memasak, membersih dan mengemas.

"Money Matters menjadi peneman saya apabila sibuk di rumah. Pengacara terutamanya Kelvin, bercakap secara lebih dekat dengan penonton dan pendengar, sekali gus memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seperti mereka sebaik menamatkan pengajian."

Keraguan untuk menonton

Bagi Intan, dari Johor Bahru, Fazrinah yang memperkenalkannya kepada Money Matters dan dia akan sentiasa berterima kasih kepadanya untuk itu.

"Sebelum ini saya pernah mendengar tentang program itu, tetapi saya teragak-agak untuk menontonnya kerana perniagaan dan kewangan bukan minat saya.

"Selepas dipujuk daripada Fazrinah, Preti dan Kuroshini, saya memutuskan untuk mengikut saranan mereka dan saya sangat gembira kerana melakukannya.

"Bukan sahaja Money Matters membicarakan mengenai perniagaan dan kewangan, yang mengaitkan topik ini dengan gaya hidup individu dan hal keluarga. Ia sememangnya sebuah program yang mesra rakyat," katanya.

Anak kelahiran Taiping, Ahmad Idham mengakui dirinya bukan peminat perniagaan dan kewangan, malah kebanyakan yang ditonton di televisyen adalah program berkaitan 'showbiz' serta pelancongan dan makanan.

"Apabila Intan mencadangkan saya menonton Money Matters, saya cepat terdorong. Saya tidak sabar untuk menonton episod setiap minggu, dan saya mesti katakan, saya rasa dekat dengan Kelvin dan Azaria," katanya.

Episod kegemaran Ahmad Idham dalam Money Matters adalah yang membicarakan tentang pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya golongan profesional muda.

"Walaupun tidak fikir saya mahu menjadi pengacara kepada program berkaitan perniagaan pada masa depan, Money Matters sememangnya satu program yang saya dapat banyak belajar daripada pengacaranya," katanya..

Bagi Kelvin, lima pelajar itu tidak pernah menonton program Money Matters yang pernah disiarkan bermula pada awal 1990-an.

"Saya terkejut apabila Fazrinah menghubungi saya baru-baru ini, menyatakan minatnya kepada program Money Matters dan betapa ia menyedarkan mereka tentang asas perniagaan, kewangan dan keusahawanan," katanya.

Penerbit Eksekutif Money Matters, Josephine Dass, berkata dia dan Kelvin berpendapat adalah bagus untuk mempunyai pelatih industri yang terdiri daripada pelajar media untuk program itu pada masa akan datang.

"Saya amat gembira kerana Money Matters mendapat maklum balas hebat daripada penonton muda.

"Kelvin dan saya percaya bahawa untuk rancangan ini terus berkembang, kami perlu menjalin rangkaian dengan pelajar muda media dengan minat untuk menjadi pengacara serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kukuh mengenai Money Matters.

"Ahmad Idham, Intan, Preti, Fazrinah dan Kuroshini sendiri sangat berpengetahuan dan bersemangat, dan jika ada antara mereka atau rakan pelajar media yang ingin menjalankan latihan industri di Money Matters pada masa akan datang, kami memberikan sokongan penuh," katanya.

Berita Harian X