Selasa, 20 September 2022 | 5:00pm
Pelantikan Dira sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia dilihat sebagai lantikan politik oleh sesetengah pihak yang mengkritik. - Foto IG Dira Abu Zahar
Pelantikan Dira sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia dilihat sebagai lantikan politik oleh sesetengah pihak yang mengkritik. - Foto IG Dira Abu Zahar

Apa masalah lantik orang politik? - Zahidi

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mempertahankan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Khaidhirah Abu Zahar sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia, sebagai wajar dan layak memegang jawatan itu.

Mengulas kritikan sesetengah pihak mendakwa pelantikan Khaidhirah atau Dira sebagai pengerusi majlis penasihat itu sebagai lantikan politik, Zahidi berkata, tidak ada masalah untuk melantik 'orang politik' yang layak.

Beliau berkata, Khaidhirah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka adalah seseorang individu yang mudah didekati oleh masyarakat, justeru lebih banyak komen membina dapat diterima daripada orang awam bagi menambah baik bidang perfileman.

"Apa masalah lantik orang politik? Kebanyakan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), penasihatnya kita lantik bekas pesara kerajaan, pesara politik dan orang politik.

"Itu menjadi kebiasaan untuk dilantik kerana mereka layak," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Jasamu Dikenang 2022 Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), di sini, hari ini.

Zahidi (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Khairdzir Md Yunus pada Majlis Jasamu Dikenang di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, hari ini. - Foto BERNAMA

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November, tahun lepas, Dira memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim sekali gus melakar sejarah sebagai selebriti pertama bergelar wakil rakyat.

Sebelum menyertai politik, Dira aktif dalam dunia lakonan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan untuk membantu pemain industri pada pada 17 September lalu. - BERNAMA

Berita Harian X