Jumaat, 16 September 2022 | 11:00am
Acryl Sani beramah mesra bersama Duta Anti-Scam selepas Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM, Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli
Acryl Sani beramah mesra bersama Duta Anti-Scam selepas Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM, Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli

Guna pengaruh perangi penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR: Pengalaman hampir menjadi masa penipuan dalam talian mendorong selebriti tempatan menerima tawaran menjadi duta antiscam yang berperanan sebagai jurucakap kempen pencegahan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih membuktikan kesungguhan mereka, selebriti terpilih menawarkan khidmat sebagai jurucakap kempen antiscam secara percuma dengan komitmen menggunakan pengaruh masing-masing bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kes penipuan dalam talian.

Salah seorang bintang 'otai' dilantik, Datuk Awie mengambil inisiatif sendiri melakukan siri jelajah antiscam di lokasi terpilih.

Awie berkata, kesedaran untuk berkongsi maklumat mengenai kes penipuan dalam talian timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu dilaksanakan apabila dirinya hampir menjadi mangsa scammer.

"Saya terima panggilan telefon daripada penipu terbabit ketika PKP. Saya jadi terlalu geram sehingga memaki hamun pemanggil.

"Sejak itu, saya simpan niat buat sesuatu untuk rakyat dan negara agar orang lain tidak terkena.

"Disebabkan kita dalam fasa PKP ketika itu, saya baru berpeluang menjelajah utara, Pantai Timur dan selatan Semenanjung untuk menyebarkan mesej antiscam.

"Saya ambil inisiatif ini bersama rakan motosikal berkuasa besar yang pernah menjadi mangsa scammer," katanya yang merancang menjelajah Sabah dan Sarawak atas tujuan sama.

Awie berkata, tawaran PDRM diterima bukan kerana hendak mendapatkan sijil pelantikan, sebaliknya didorong rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, biarpun tidak mampu menyelesaikan masalah penipuan dalam talian, sekurang-kurangnya kehadiran golongan berpengaruh berkongsi maklumat antiscam dapat meningkat kesedaran rakyat.

"Saya memang sakit hati kerana tergamak sindiket menipu orang tua yang menyimpan puluhan tahun hanya disebabkan kebulur untuk menjadi kaya.

"Tidak kasihankah mangsa yang sebaya dengan ibu bapa mereka?" katanya.

Awie hampir menjadi mangsa ‘scammer’ membabitkan kes penipuan dalam talian ketika PKP Fasa Satu dilaksanakan.
Awie hampir menjadi mangsa ‘scammer’ membabitkan kes penipuan dalam talian ketika PKP Fasa Satu dilaksanakan.

Awie membangkitkan kecenderungan pengasas produk berlumba-lumba menonjolkan kekayaan sehingga mempengaruhi anak muda mencari wang secara haram.

"Kononnya mereka kaya raya hasil jualan produk. Apa yang mereka jual sehingga perkara itu jadi tanda tanya besar?

"Disebabkan sibuk hendak kaya, ada yang terjebak dengan aktiviti penipuan dalam talian," katanya.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyempurnakan majlis pelantikan duta antiscam di Maktab Polis Kuala Lumpur di ibu negara.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Multimedia Creative Solution Sdn Bhd, Datuk Steven Lim Boon dan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din.

Pada majlis itu, seramai 57 tokoh yang dilantik menerima sijil masing-masing.

Antaranya Awie atau nama sebenar, Datuk Ahmad Azhar Othman; Datuk Hattan dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

Tokoh sukan tanah air yang dilantik jurucakap antiscam adalah Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia; bekas ratu cantik, A Thanuja serta pempengaruh Boss James serta Ustaz Abdullah Khairi.

Berita Harian X