Rabu, 9 March 2022 | 8:30am
Ally Iskandar dan Hawa Rizwana mengendalikan kempen Usahawan Buletin FM dan Masterclass Buletin FM. - Foto Ihsan Media Prima Audio
Ally Iskandar dan Hawa Rizwana mengendalikan kempen Usahawan Buletin FM dan Masterclass Buletin FM. - Foto Ihsan Media Prima Audio

Juara Kempen Usahawan bawa pulang RM150,000

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Kempen Usahawan Buletin FM, stesen radio milik Media Prima Audio itu kembali semula dengan kempen sama, tahun ini.

Pada edisi kali ini, pemenang bakal memenangi dana perniagaan berjumlah RM150,000.

Kempen Usahawan Buletin FM diperkenalkan semula berikutan penyertaan menggalakkan diterima pendengar stesen radio berkenaan. Kempen Usahawan Buletin FM bermula 7 Februari lalu sehingga Jumaat ini.

Masih menggunakan mekanisme sama seperti edisi lalu, pendengar hanya perlu melayari laman web Buletin FM dan terus ke pautan Usahawan Buletin FM.

Peserta perlu mengisi maklumat diri dan perniagaan. Antaranya, jenis perniagaan dan menjawab soalan kenapa memerlukan dana berkenaan, kos perniagaan dan sebagainya.

Mereka yang terpilih dikehendaki membentangkan idea perniagaan di hadapan dua panel juri profesional pada segmen Fokus Pagi bersama Ally Iskandar dan Hawa Rizwana.

Antara juri profesional ialah Ketua Pegawai Eksekutif Entrepreneur Culture Incorporated, Coach Wan Arjuna dan Pengasas Entrepreneur Insight, Datuk KK Chua.

Pada minggu pertama, empat peserta akan membentangkan idea perniagaan dan akan dinilai juri profesional yang menyumbang sebanyak 70 peratus markah, manakala 10 peratus lagi menerusi undian dalam laman web Buletin FM.

Minggu berikutnya, empat peserta akan membentangkan idea perniagaan dengan pembahagian markah sama. Hanya seorang peserta dengan markah tertinggi bagi setiap minggu layak ke pusingan akhir.

Dua finalis yang mencatat jumlah markah tertinggi perlu membentangkan sekali lagi idea perniagaan di hadapan juri profesional iaitu usahawan dan pemilik perniagaan, Datuk Seri Johari Ghani yang akan memberikan 20 peratus markah terakhir kepada finalis.

Juara Kempen Usahawan Buletin FM akan membawa pulang dana perniagaan berjumlah RM125,000 untuk slot iklan radio dan wang tunai berjumlah RM25,000 yang akan diumumkan, Jumaat ini.

Sementara itu, Buletin FM turut memperkenalkan satu lagi kempen iaitu Masterclass Buletin FM yang berbentuk sesi webinar eksklusif bagi berkongsi pengetahuan ilmu perniagaan, memantapkan perniagaan kecil atau sederhana dalam bisnes, seterusnya meraih kejayaan dalam perniagaan diceburi.

Sesi Masterclass Buletin FM memfokuskan kepada interaksi dua hala antara panel jemputan dengan penonton yang akan membincangkan topik menarik berpandukan bidang kepakaran, terutama perniagaan dengan menggunakan kaedah penstriman langsung menerusi Facebook Live Buletin FM.

Tirai Masterclass Buletin FM sudah dibuka sejak 25 Februari lalu dan berakhir pada April ini dengan topik perancangan kewangan perniagaan bersama moderator Ally dan dua tetamu jemputan. Antaranya, Pengasas SifuBad Sdn Bhd, Sifu Jamal dan Pengasas Tepung Pelita Paya Jaras, Watie Abdullah.

Menariknya, orang ramai berpeluang memenangi wang tunai dengan mengikuti langkah mudah.

Mereka hanya perlu menonton Masterclass Buletin FM dan mendengar Buletin FM sepanjang hari pada setiap Isnin. Kemudian, tunggu isyarat memanggil dan jadi pemanggil terpantas dengan menjawab soalan berkenaan Masterclass Buletin FM yang dijalankan.

Pendengar berpeluang memenangi wang tunai bernilai RM200 bersama Ally dan Hawa, Haiza, Muaz dan Izwan Azir serta Fedtri Yahya.

Antara topik lain yang bakal dibincangkan antaranya Kepentingan Media Sosial Kepada Perniagaan, Kos Perniagaan: Cari Pelabur Atau Guna Wang Sendiri?, Kepentingan Imej Produk Perniagaan dan banyak lagi.

Selain Ally, penyampai Buletin FM lain seperti Hawa, Muaz, Izwan Azir dan Fedtri turut mengemudi sesi Masterclass Buletin FM.

Antara tetamu jemputan yang bakal menyertai sesi Masterclass termasuklah Pengasas Jenama Baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi @ Meri; Pengarah Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia, Firdaus Abd Wahid dan Pengasas Supercube International, Hayfa Amira.

Jangan lepaskan peluang menyertai Masterclass Buletin FM pada setiap Jumaat, jam 11 pagi menerusi Facebook Live Buletin FM kerana pelbagai intipati dan manfaat bakal diperoleh walaupun di mana sahaja berada dengan menggunakan telefon bimbit atau komputer riba, disamping berpeluang memenangi wang tunai.

Buletin FM boleh didengari menerusi frekuensi 101.3FM di Lembah Klang; 90.2FM Pulau Pinang; 107.3FM Alor Setar dan 104.3FM Sarawak.

Secara alternatif, pendengar juga boleh mendengarkan Buletin FM secara langsung di www.buletinfm.audio dan YouTube Buletin TV.

Untuk perkembangan dan pengisian digital berinfomatif, boleh terus ikuti laman sosial Buletin FM di Facebook Buletin FM, Instagram @buletinfm dan Twitter @buletinfm dan aplikasi WhatsApp di 017-276 5656.

Buletin FM juga boleh didengari menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.

Berita Harian X