Jumaat, 18 Februari 2022 | 2:39pm

TV9 cari 12 keluarga jaguh memasak

TUGAS memasak sebenarnya tidak semudah disangka. Jika tersalah teknik, hidangan yang diharapkan membuka selera mungkin bertukar mimpi ngeri.

Namun, bagi mereka yang sememangnya jaguh di dapur, memasak dua hingga tiga hidangan dalam satu masa bukan masalah besar. 

Disebabkan itu, TV9 kini mencari 12 keluarga yang hebat memasak untuk berentap dalam program realiti masakan terbaharu iaitu Terpaling Masak. 

Syarat penyertaan

Untuk menyertai program masakan terbaharu ini, anda mestilah memenuhi kriteria seperti di bawah:

  • Warganegara berusia 18 tahun dan ke atas.
  • Dua orang dalam satu kumpulan.
  • Mempunyai ikatan keluarga atau pertalian darah.
  • Pandai memasak.
  • Petah bercakap dan berpewatakan menarik.

Jika anda dan keluarga adalah orang yang dicari, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti lima langkah mudah di bawah bagi menyertai sesi uji bakat secara dalam talian:

1. Rakam aksi kumpulan anda sedang menyediakan hidangan istimewa berdurasi 3 minit.

2. Muat naik video uji bakat di ruangan yang disediakan dalam pautan ini.

3. Anda juga boleh berkongsi video uji bakat di Facebook, Instagram atau YouTube dengan menggunakan #terpalingmasakTV9 dan @tv9malaysia. 

4. Pastikan akaun atau video berkenaan dalam tetapan umum dan lengkapkan borang penyertaan.

5. Hanya penyertaan yang disenarai pendek akan dihubungi oleh pihak produksi.

Tips video uji bakat

Anda disarankan untuk memulakan rakaman video dengan sesi pengenalan diri daripada ahli kumpulan. 

Setelah itu, kongsikan mengenai hidangan istimewa yang ingin dimasak diikuti cara penyediaan. 

Pastikan anda menggunakan suara yang jelas, intonasi menarik, ceria dan gembira untuk menarik perhatian juri. 

Anda juga boleh berkongsi mengenai keunikan atau kelebihan kumpulan serta hidangan yang dipilih mengikut kreativiti masing-masing. 

Paling penting, setiap peserta disarankan untuk merakam video dalam bahasa Melayu. 

Jika anda sudah bersedia, jangan lepaskan peluang untuk menghantar penyertaan kumpulan anda bermula sekarang sehingga 28 Februari ini. 

Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.xtra.com.my/terpalingmasak.

Berita Harian X