KOTA KINABALU: Music Rights Sabah Berhad (MRS) secara rasmi menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan, berkuat kuasa mulai 7 Januari lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata MRS diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik, pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di Sabah.
Katanya, MRS adalah badan pelesenan ketujuh diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mengeluarkan lesen penggunaan muzik negeri itu.
"Enam yang lain sebelum ini ialah Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Berhad (PPM), Recording Performers Berhad (RPM), MPLC Sdn Bhd, Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) dan Music Right (Sarawak) Berhad.
"Penubuhan dan pengiktirafan MRA sebagai badan pelesenan antara lain akan memberi manfaat kepada ahli dalam menguruskan hak royalti mereka di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri muzik.
"Antara ahli yang bernaung di bawah badan ini ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembuat video muzik dan syarikat rakaman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengumumkan penubuhan badan pelesenan MRS secara rasmi sempena Majlis Apresiasi Kepenggunaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Exco Kepenggunaan Sabah, Media dan NGO Kepenggunaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas dan Pengarah Urusan MRS, Asmin Mubin.