Sabtu, 26 Jun 2021 | 1:53pm
 MDT Family Band daripada Musicians for Musicians Malaysia (MFM) adalah antara kumpulan yang membuat persembahan sempena pelancaran BASKL baru-baru ini.
MDT Family Band daripada Musicians for Musicians Malaysia (MFM) adalah antara kumpulan yang membuat persembahan sempena pelancaran BASKL baru-baru ini.

BASKL pelihara ekosistem seni budaya KL

KUALA LUMPUR: Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) memperkenalkan ruang maya, Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL) dalam usaha menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem seni budaya di Kuala Lumpur.

BASKL yang boleh dilayari di www.baskl.com.my memberi peluang kepada pengunjungnya untuk mempelajari dan menikmati hasil karya seni, muzik, kraf dan seni persembahan yang memperkaya budaya ibu kota dan juga seluruh negara.

Menerusi pembangunan kandungan yang digubah dan disusun khas, pengunjung dapat meneroka aktiviti dan peristiwa di Kuala Lumpur dan sekitarnya serta cerita menarik, video dan podcast yang bertumpukan Malaysia serta barisan seniman dan artisan.

CENDANA adalah unit di bawah MyCreative Ventures Sdn Bhd yang bernaung di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata sejak penubuhan agensi itu pada September 2017, sektor muzik independen menunjukkan peningkatan mendadak.

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

"Sehubungan itu, CENDANA berharap dapat memperkuatkan peranannya dalam menyokong pembangunan muzik independen di seluruh Malaysia. Usaha yang meluas ini hadir dalam pelbagai bentuk sama ada pembangunan modal insan, program geran, peluang membina jaringan, dan seumpamanya.

"Kami berbesar hati dapat melaksanakan usaha yang sama pentingnya untuk memperkenalkan kembali usaha membina apreasiasi tinggi terhadap sektor seni budaya, termasuk industri muzik melalui laman sesawang BASKL.com.my" katanya pada majlis pelancaran laman BASKL melalui Facebook Livestream baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Sri Mohammad Mentek, pula berkata pihaknya akan terus memberi sokongan kepada industri muzik tempatan.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Sri Mohammad Mentek.
Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Sri Mohammad Mentek.

'Ini (BASKL) adalah antara sokongan ekosistem yang baik kerana industri muzik sudah menyediakan pekerjaan kepada 83,000 rakyat Malaysia. Setiap ringgit yang dibelanjakan dalam industri muzik menghasilkan sekitar RM2.20 bagi setiap cabang pengeluaran ekonomi Malaysia.

"Berdasarkan ini dan banyak aspek sosial lain, KKMM mengharapkan industri muzik dapat dibangunkan secara bersama melalui penubuhan Perbadanan Muzik dan pelaksanaan pelbagai program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA)," katanya.

Pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd, Noor Azmi Mat Said, berkata BASKL adalah sebahagian daripada inisiatif Ekonomi Jingga Kumpulan itu dan akan membantu industri muzik berhadapan dengan keadaan mencabar akibat pandemik kini.

Pada majlis pelancaran BASKL sempena dengan Hari Muzik Sedunia itu, Livestream berkenaan mengetengahkan persembahan pra-rakaman dari rumah oleh barisan pemuzik Musicians for Musicians Malaysia (MFM) iaitu, Kudin Ramly, Mizan & Kyra, Don & Angela, MDT Family Band dan Brian Dourado.

MFM ialah persatuan yang mempunyai misi untuk membantu pemuzik yang kehilangan sumber pendapatan mereka sejak Mac 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan.

Wakil Presiden MFM, Edwin Nathaniel, berkata pihaknya berusaha untuk terus menggalakkan pemuzik membuat persembahan setiap hari secara dalam talian dan disiarkan secara langsung melalui laman FB kepada orang ramai sekali gus membolehkan pemuzik menjana pendapatan.

"Kerjasama dengan CENDANA yang menampilkan 10 pemuzik MFM untuk pelancaran laman sesawang BASKL sangat istimewa. Kami bersyukur atas kerjasama ini yang memberi sokongan kepada 490 pemuzik sehingga akhir tahun ini," katanya.

Sempena pelancaran BASKL dan Hari Muzik Sedunia, BASKL akan memaparkan artikel untuk meraikan arena muzik Malaysia serta menampilkan muzik Malaysia di Spotify. Pertandingan fotografi "KLik" juga dilancarkan dengan tema berbeza dengan 10 pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk memenangi hadiah wang tunai.

Berita Harian X