Rabu, 30 Mei 2018 | 8:57pm

Program hebat hibur penonton pada musim perayaan

PETALING JAYA: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) meneruskan kempen Terima Kasih buat kali kedua sebagai tanda penghargaan kepada penonton menerusi pelantikan duta, acara turun padang dan penerbitan aneka program bermanfaat sepanjang musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak, berkata MPTN menceriakan suasana Syawal hingga minggu raya kedua bersama telefilem khas sempena Aidilfitri, drama rantaian, filem pecah panggung dari dalam dan luar negara, rancangan bual bicara dan program Raudhah.

"Selain mengunjungi sanak-saudara, orang ramai pasti menantikan program televisyen yang membawa seisi keluarga bersama-sama mengikuti rancangan istimewa sesuai suasana Syawal.

"Selaku platform nombor satu pilihan Malaysia, MPTN komited dalam memastikan kualiti program hiburan dan kekeluargaan sepanjang perayaan ini memuaskan hati ramai.

"Pada masa sama, kami berbesar hati dengan sokongan pengunjung terhadap Bazar Terima Kasih & Jom Masjid di Kedah serta Melaka. Hasil pembelian juadah berbuka mereka turut disalurkan ke rumah kebajikan terpilih.

"Semua acara termasuk program mengimarahkan rumah Allah, Jom Masjid, dengan sesi tazkirah secara maya dan gotong royong memasak serta mengedarkan bubur lambuk diharap terus menyuburkan silaturahim sesama insan," katanya.

Johan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan Program Menarik Syawal di TV3, TV9 dan ntv7, di sini petang tadi.

Sementara itu, antara telefilem yang bakal disiarkan TV3 termasuk Mak Cun Pi Amerika Lagi dan Pendosa Ingin Ke Syurga, manakala Andainya Takdir 2 mengisi slot drama rantaian di saluran sama.

Saluran berkenaan turut menyenaraikan filem popular seperti J Revolusi, Abang Long Fadil, Mael Lambong, Captain America: The First Avenger, Real Steel, Niyang Rapik, Jurassic Park III, Kuch Kuch Hota Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham untuk hiburan penontonnya.

TV9 pula menyajikan aneka pilihan seperti Tanyalah Ustaz Raya dan Tanya Apa Saja daripada Raudhah, selain filem antarabangsa serta rancangan hiburan.

Saluran ntv7 juga meletakkan penanda aras yang tinggi bersama deretan program menghiburkan seperti rancangan bual bicara, Feel Good Show Raya.

 KETUA Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak (depan, kiri) bersama barisan artis yang hadir pada majlis pratonton Program Syawal Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima di Hotel New World, Petaling Jaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak (depan, kiri) bersama barisan artis yang hadir pada majlis pratonton Program Syawal Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima di Hotel New World, Petaling Jaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X