Ahad, 18 September 2022 | 1:00pm
Keisya terbuka menerima komen negatif tanpa mengambil hati, biarpun suaranya dikatakan ‘jelek’. - Foto IG Keisya Levronka
Keisya terbuka menerima komen negatif tanpa mengambil hati, biarpun suaranya dikatakan ‘jelek’. - Foto IG Keisya Levronka

Suara Keisya 'jelek'?

KUALA LUMPUR: Bangkit pada era pandemik COVID-19, nama Keisya Levronka, 19, tiba-tiba meledak apabila single Tak Ingin Usai tular dalam laman sosial sejak Mei lalu.

Karya ciptaan Mario G Klau dan diterbitkan Tohpati itu membawa Keisya kepada tahap luar biasa dan mencetuskan fenomena dalam sekelip mata.

Video muzik dan lirik single Tak Ingin Usai di YouTube meraih 135 juta tontonan sehingga 16 Ogos lalu. Tak ketinggalan, lagu berkenaan mendaki carta penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music.

Sebenarnya, Tak Ingin Usai adalah single keempat dihasilkan bakat program realiti, Indonesian Idol 2019 ini.

Tiga single terdahulu diterbitkan pada 2020 iaitu Jadi Kekasihku Saja, Tergesa dan Lagu Untuk Hari Ini belum berjaya membuatkan namanya mekar sebagaimana hari ini.

"Tuah dan rezeki ternyata menerusi single Tak Ingin Usai. Tiga single terdahulu tidak menerima impak sebesar lagu ini.

"Ia menjadi penanda aras, namun, bukan perjalanan yang mudah. Namun, ia menjadi proses pembelajaran saya, setiap hari.

"Saya belum cukup bagus dan masih banyak kelemahan yang harus diperbaiki," katanya dalam pertemuan bersama BH Online di pejabat urusan Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sudah lumrah apabila menjadi perhatian ramai dan mengadakan persembahan di khalayak ramai, ada menjadi bualan dan kecaman netizen, sekali gus mutu vokalnya dipertikaikan.

Bakat Keisya mula diketengahkan selepas menyertai program realiti, Indonesian Idol pada 2019. - Foto IG Keisya Levronka
Bakat Keisya mula diketengahkan selepas menyertai program realiti, Indonesian Idol pada 2019. - Foto IG Keisya Levronka

Malah, ada yang membandingkan suara penyanyi dari Malaysia yang lebih bagus menyanyikan lagu Tak Ingin Usai.

"Kritikan dan kecaman banyak sekali. Ia sudah lumrah, namun, saya terbuka membaca komen negatif tanpa mengambil hati.

Pernah ada yang komen suara saya 'jelek'.

"Namun, jika hanyut dengan cercaan, saya tidak akan ke mana-mana. Untuk sampai ke tahap ini, saya percaya ada harga yang harus saya bayar.

"Malah, sehingga sekarang, saya masih mengikut beberapa kelas untuk memantapkan vokal dan gaya nyanyian, sekali gus menjadi penghibur terbaik," katanya.

Saat kerjaya seninya dilihat mula kukuh, penyanyi yang menjadikan Ariana Grande dan Datuk Rossa sebagai idola ini masih berhasrat menyambung pengajian.

"Jika diberi kesempatan menyambung pengajian, saya mahu teruskan pengajian dalam bidang perhubungan awam ataupun perniagaan.

"Saya percaya kesempatan belajar tidak akan pernah bernoktah dan wajar dimanfaat.

"Ada yang bertanya kenapa bukan bidang muzik? Saya fikir mahu belajar di luar bidang muzik.

"Saya percaya dunia perhubungan awam dan perniagaan boleh meluaskan skop kemahiran muzik dengan lebih meluas," katanya.

Pada saat kerjaya seninya dilihat mula kukuh, Keisya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perhubungan awam atau perniagaan. - Foto IG Keisya Levronka
Pada saat kerjaya seninya dilihat mula kukuh, Keisya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perhubungan awam atau perniagaan. - Foto IG Keisya Levronka

Mengulas single Tak Ingin Usai, Keisya berkongsi, ia mengenai hubungan percintaan yang tidak boleh dipaksa, jadi perpisahan adalah jalan terbaik walaupun berat dilakukan.

"Bagi saya, single Tak Ingin Usai menceritakan hubungan terlerai akibat keputusan sebelah pihak. Perpisahan menyebabkan pasangannya gagal meneruskan kehidupan, hancur dan menangis, tetapi berusaha menerima takdir.

"Bagaimanapun, pasangan itu tetap berharap semoga dipertemukan lagi," ujar Keisya.

Berkongsi proses rakaman lagu bergenre pop balada yang meruntun jiwa itu, Keisya berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk memilihnya sebagai pertaruhan baharu.

"Dari perjumpaan untuk pemilihan lagu sehingga sesi rakaman, ia berlaku dalam tempoh yang singkat. Walaupun rakaman pernah tertunda dua bulan kerana faktor kesihatan, tetapi saya cuba menyelesaikannya dengan segera

"Sejujurnya, saya terus jatuh cinta pada kali pertama mendengar lagu ini. Saya tak sangka penciptanya, Mario mampu menghasilkan lagu yang menggoncang jiwa ini.

"Namun, sehingga hari ini, kami belum pernah bertemu. Ada rezeki saya ingin bertemu dengan Mario kerana sudah menjadi penggemar karya ciptaannya," katanya.

Mengimbas perjalanan awal kerjaya seninya, Keisya berkata, dia menyertai Indonesian Idol 2019 kerana dipaksa ibu.

"Jika tidak kerana paksaan ibu, mungkin saya takkan berada pada tahap hari ini. Dunia nyanyian bukan pilihan sejak kecil, malah adik-beradik lain tidak ke dunia seni.

"Tambah pula mahu bergelar artis pada era digital dan pandemik. Ia bukan mudah, tetapi di sebalik pergelutan tentunya ada kemanisan," katanya.

Kedatangannya ke Malaysia, bulan lalu mengimbas nostalgia kali pertama terbang ke sini sekitar 2019.

"Kali pertama saya datang kerana mengikut program pertukaran pelajar. Siapa sangka rencana Tuhan, kali kedua ini saya datang atas tiket sebagai penyanyi.

"Semuanya menyimpulkan kenangan yang cukup membahagiakan," katanya.

Berita Harian X