Khamis, 16 Jun 2022 | 3:00pm
Lima bulan bersama, Anna dan Meerqeen semakin intim, video ‘sweet’ dalam aplikasi TikTok tular hingga ke luar negara. - Foto IG Anna Jobling
Lima bulan bersama, Anna dan Meerqeen semakin intim, video ‘sweet’ dalam aplikasi TikTok tular hingga ke luar negara. - Foto IG Anna Jobling

Anna, Meerqeen 'angau'?

KUALA LUMPUR: Roda cinta lokasi yang pernah menemukan jodoh beberapa pasangan pelakon popular terus berputar.

Kali ini, giliran bintang baharu yang semakin menyerlah, Anna Jobling pula apabila terjerat permainan cinta bersama hero gandingan dalam drama bersiri yang mencetuskan fenomena baharu, Melur Untuk Firdaus iaitu Meerqeen.

Selain keserasian ditunjukkan dalam drama arahan Zamri Zakaria itu hingga berjaya membuat penonton termasuk pengikut di luar luar negara menjadi 'angau', keintiman Anna dan Meerqeen juga dilihat terbawa-bawa hingga ke luar penggambaran.

Meninjau hantaran dibuat dua bintang remaja berusia 21 tahun itu menerusi medial sosial, kebanyakannya lebih memaparkan kemesraan dan bersifat 'sweet' seperti merpati dua sejoli.

Keadaan itu sekali gus bagai menterjemahkan perasaan indah terjalin yang cuba disembunyikan pasangan pelakon popular itu.

Enggan bermain teka-teki atau membiarkan spekulasi nakal terus bertebaran, BH Online bertanya kepada si empunya diri untuk meleraikan persoalan itu.

Sambil tertawa, pemenang tempat keempat pertandingan Dewi Remaja 2018/2019 menepis tanggapan nakal itu, sekali gus menjelaskan hubungannya dengan Meerqeen tidak lebih rakan sekerja.

"Saya kenal Meerqeen sudah lama dan pernah bekerja bersama, sebelum ini. Untuk drama ini, kami bersama selama lima bulan.

"Jadi, apabila sudah selalu bertemu pasti kemesraan nampak nyata. Sejujurnya, saya selesa bergandingan dengannya.

"Meerqeen bukanlah seorang lelaki yang sombong. Malah, apa sahaja pertanyaan, pasti akan dijawab.

"Jadi, apabila penonton berasakan kami benar-benar bercinta, ia menandakan saya dan Meerqeen berjaya menghidupkan watak diamanahkan dengan baik," ujarnya kepada BH Online.

Bagi pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, walaupun ramai mengharapkan percintaan di skrin menjadi kenyataan, namun, gadis kacukan Melayu-Inggeris itu masih belum bersedia berpacaran.

"Kalau melihat komen ditinggalkan dalam media sosial, ramai mengharapkan saya dan Meerqeen bercinta.

"Namun, ada juga yang tidak menyenangi perkara ini terutama peminat Meerqeen.

"Peminat saya ada yang boleh terima dan meluahkan rasa hampa terutama peminat lelaki jika saya dan Meerqeen benar-benar bercinta.

"Namun, kebanyakan amat memahami situasi sebenar. Apa yang mereka lihat dalam media sosial hanyalah tuntutan kerja iaitu cara kami mempromosikan drama terbitan A-Ten Alliance Sdn Bhd ini," katanya.

Anna belum sedia jalin hubungan cinta, masih banyak impian yang dikejar termasuk melebar sayap lakonan di luar negara. - Foto Anna Jobling
Anna belum sedia jalin hubungan cinta, masih banyak impian yang dikejar termasuk melebar sayap lakonan di luar negara. - Foto Anna Jobling

Buat masa ini, Anna berkata, dia belum bersedia bercinta, apatah lagi, usia pun masih muda.

"Namun, saya percaya ada jodoh tak akan ke mana-mana.

"Saya kerja keras untuk berada di kedudukan hari ini. Jadi, fokus saya hanyalah mahu bekerja.

"Lagipun, ada banyak perkara yang masih dikejar. Antaranya, melebarkan sayap ke luar negara seperti Indonesia. Untuk itu, soal cinta saya ketepikan dahulu demi mengejar cita-cita," ungkapnya.

Walaupun baru tujuh episod ditayangkan, drama yang disiarkan dalam slot Lestary di TV3 dan Disney+ Hotstar ini sudah pun tular dan berjaya menarik penonton serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Perkembangan terkini itu turut mengejutkan Anna terutama selepas menerima mesaj peribadi daripada peminat yang mahu drama adaptasi novel berjudul My Rude Wife itu ditayangkan di negara jiran.

"Sebaik sahaja klip drama ini tular dalam aplikasi Tik Tok hingga ke luar negara, saya terima banyak mesej peribadi peminat yang mahu drama ini ditayangkan di Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Ada juga permintaan dari peminat Filipina yang mahu drama ini diberikan sarikata bersesuaian memudahkan mereka memahami dialog dilontarkan.

"Sejujurnya, saya amat teruja dengan sambutan diberikan. Walaupun yakin drama ini boleh diterima penonton, tetapi tidak jangka mendapat sambutan yang menggila seperti ini," ujarnya yang pernah muncul dalam drama bersiri, Shah Alam 40000 ini.

Drama Melur Untuk Firdaus ini adalah penampilan pertama Anna sebagai watak utama.

Selain berlakon, Anna bercita-cita menceburi bidang pengacaraan khususnya untuk program berbentuk hiburan.

Berita Harian X