Rabu, 5 Jun 2024 | 8:58am
Nancy Shukri
Nancy Shukri

Tubuh jawatankuasa hapus semua bentuk diskriminasi terhadap wanita

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menubuhkan Jawatankuasa Pelan Tindakan Pasca Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia bertujuan merekodkan situasi sebenar wanita di dalam negara dan dasar yang dikemas kini bagi mempersiapkan delegasi Malaysia ke Cedaw pada masa akan datang.

"Selepas Cedaw, kita ada pemerhatian rumusan jadi kita dapat melihat apa yang perlu ditangani, kita perlu aturkan strategi, jadi dengan adanya Pelan Tindakan Pasca Cedaw ini, ia akan memberi kemudahan untuk kita merekodkan maklumat dari semasa ke semasa," katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dibarisi wakil 12 kementerian yang berkaitan dan dijangka mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali dalam setahun.

Pada 18 Mei lalu, Nancy mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi dialog pembentangan laporan berkala Cedaw keenam dari 18 hingga 26 Mei di Geneva, Switzerland.

Tujuan utama Cedaw ialah menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dalam bidang politik, ekonomi, sosial serta budaya dan penerimaan Malaysia terhadap konvensyen itu adalah dengan pemahaman bahawa peruntukannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah. - BERNAMA

Berita Harian X