Khamis, 9 Mei 2024 | 8:59am
Iklan iPad Pro baharu mencetuskan kekecohan apabila ia menunjukkan sebuah mesin hidraulik bersaiz industri menghancurkan objek dikaitkan dengan kreativiti manusia, seperti pemain rekod dan trompet yang bertukar kepada sebuah tablet. - Foto ihsan Apple Inc
Iklan iPad Pro baharu mencetuskan kekecohan apabila ia menunjukkan sebuah mesin hidraulik bersaiz industri menghancurkan objek dikaitkan dengan kreativiti manusia, seperti pemain rekod dan trompet yang bertukar kepada sebuah tablet. - Foto ihsan Apple Inc

Iklan iPad Pro baharu cetus kekecohan

SAN FRANCISCO: Iklan iPad Pro baharu mencetuskan kekecohan apabila ia menunjukkan sebuah mesin hidraulik bersaiz industri menghancurkan objek dikaitkan dengan kreativiti manusia, seperti pemain rekod dan trompet yang bertukar kepada sebuah tablet.

Pengguna media sosial serta-merta mengkritik iklan itu yang disiarkan di X oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, sebagai tidak peka ketika komuniti kreatif bimbang mengenai masa depan mereka dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) generatif.

"Kemusnahan pengalaman manusia. Dengan hormat dari Silicon Valley," tulis pelakon, Hugh Grant di X.

Dengan penetapan lagu `All I ever need is you' oleh Sonny dan Cher, iklan satu minit bertajuk `Crush' itu menyaksikan timbunan artifak kreatif termasuk piano dan tin cat yang meletup di bawah tekanan mesin oleh Apple.

"Saya tidak pasti 'memusnahkan semua perkara yang baik dan indah di dunia ini' benar-benar getaran yang anda cuba lakukan," tulis pengguna X, Judd Baroff.

Iklan itu dipautkan kepada video TikTok yang viral mengenai mesin perindustrian dan mesin lain yang ditonton jutaan manusia di platform itu.

Ramai pengkritik merujuk kepada iklan ikonik pelancaran komputer Mac pertama pada 1984 dan menggambarkan Apple sebagai pemberontak terhadap syarikat gergasi.

"Ketika 40 tahun lalu, Apple mengeluarkan iklan pada 1984 sebagai kenyataan berani menentang masa depan dystopia (membimbangkan).

"Sekarang anda adalah masa depan dystopia itu. Tahniah," tulis pengguna X, Yuval Kardov.

Apple tidak segera menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Iklan itu keluar ketika pencipta ChatGPT dan Dall-E, OpenAI serta gergasi AI lain berdepan saman daripada artis dan penerbit yang mengatakan bahan mereka digunakan melatih model AI tanpa kebenaran.

- AFP

Berita Harian X