Ahad, 5 Mei 2024 | 12:56pm
Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air di Porto Alegre, Rio Grande do Sul, Brazil yang dilanda banjir. - Foto AFP
Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air di Porto Alegre, Rio Grande do Sul, Brazil yang dilanda banjir. - Foto AFP

Angka kematian akibat banjir di Brazil meningkat 56

SAO PAULO: Angka kematian akibat hujan lebat di selatan Brazil, Rio Grande do Sul meningkat kepada 56 orang dengan 67 dilaporkan hilang, manakala 32,900 dipindahkan dan sekurang-kurangnya 356,000 mengalami gangguan bekalan elektrik, kata agensi Pertahanan Awam pada Sabtu , lapor Xinhua.

Hujan lebat di negeri itu selama hampir seminggu setakat ini menjejaskan 281 majlis perbandaran, kejadian sungai melimpah dan menyebabkan ibu negeri, Porto Alegre ditenggelami air, kata agensi berkenaan.

"Angka-angka itu boleh berubah secara mendadak dalam tempoh beberapa hari akan datang apabila pihak kami sampai ke tapak dan mengenal pasti nyawa lain yang hilang," kata Gabenor negeri, Eduardo Leite.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sudah mengarahkan pembukaan pejabat kecemasan di Porto Alegre bagi memudahkan bantuan teknikal dan kewangan, selepas menghantar 100 anggota pasukan kebangsaan, pasukan polis elit, pada hari Jumaat untuk membantu dalam misi menyelamat.

Rio Grande do Sul ialah titik penting dalam pengangkutan darat Pasar Bersama Selatan (Mercosur) dan juga salah satu pengeluar utama beras, kacang soya dan daging di Brazil, yang ekonominya terhenti selama seminggu akibat cuaca. - BERNAMA-XINHUA 

Berita Harian X