Selasa, 30 April 2024 | 10:31pm
Lembu berdiri di dalam kandang mereka di ladang lembu di Rockford, Illinois, AS. - Foto REUTERS
Lembu berdiri di dalam kandang mereka di ladang lembu di Rockford, Illinois, AS. - Foto REUTERS

Selesema burung mungkin merebak kepada lembu di luar AS - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu terdapat risiko virus selesema burung H5N1 merebak kepada lembu di luar Amerika Syarikat (AS) melalui burung yang berhijrah.

Pegawai AS sedang berusaha mengesahkan keselamatan susu dan daging selepas virus H5N1 disahkan dalam 34 kumpulan lembu tenusu di sembilan negeri sejak akhir Mac lalu dan pada seorang individu di Texas.

Ketua program influenza global WHO, Wenqing Zhang berkata, dengan virus dibawa ke seluruh dunia oleh burung yang berhijrah, pastinya terdapat risiko untuk lembu di negara lain dijangkiti.

Risiko kesihatan awam yang ditimbulkan oleh virus itu adalah rendah namun perlu berjaga-jaga.

Zhang berkata, badan global itu sudah menerima kemas kini secara kerap dan memuji keputusan untuk berkongsi susunan genetik virus itu lebih awal.

"Saya fikir kerjasama dengan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit) AS dan maklumat yang kami terima setakat ini membolehkan kami memantau keadaan dan mengemas kini langkah kesiapsiagaan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X