Selasa, 23 April 2024 | 6:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Semakin ramai kanak-kanak masuk hospital akibat vape, e-rokok

MOSCOW: Kemasukan ke hospital akibat menghisap vape dan e-rokok telah meningkat sebanyak 733 peratus sejak empat tahun lalu dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 20 tahun.

Angka berkenaan termasuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, lapor Sputnik memetik laporan The New York Post, memetik data daripada NHS England.

Jumlah kemasukan ke hospital untuk gangguan berkaitan vape, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa, telah meningkat sebanyak 276 peratus sejak 2020, kata laporan itu pada Isnin.

Terdapat 50 kemasukan ke hospital untuk gangguan berkaitan vape tahun lalu, termasuk 11 kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, lapor tabloid berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kanak-kanak prasekolah dimasukkan ke hospital kerana menghisap e-rokok pada 2020, dan hanya enam orang muda memerlukan bantuan perubatan.

Kemasukan kanak-kanak untuk gangguan berkaitan vape merangkumi hanya 6.0 peratus daripada jumlah kemasukan pada 2020, kata laporan itu.

Namun, kira-kira 14 peratus daripada 365 kemasukan ke hospital berkaitan vape adalah mereka yang berumur di bawah 19 tahun.

Statistik selanjutnya menunjukkan bahawa pada 2020, daripada 97 orang yang dimasukkan ke hospital, 19 adalah kanak-kanak; pada 2021, daripada 300 orang yang dimasukkan ke hospital, 19 adalah kanak-kanak; pada 2022, jumlah itu meningkat kepada 457, termasuk lima kanak-kanak; dan pada 2023, daripada 365 orang yang dimasukkan ke hospital, 50 adalah kanak-kanak.

Laporan itu juga mengatakan bahawa semakin kerap wanita dimasukkan ke hospital untuk masalah vape iaitu 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan pada 2023 berbanding 46 peratus pada 2020. - BERNAMA-Sputnik

Berita Harian X