Selasa, 23 April 2024 | 11:20am
Elon Musk berbalah dengan Albanese dalam isu kebebasan bersuara. - Foto REUTERS
Elon Musk berbalah dengan Albanese dalam isu kebebasan bersuara. - Foto REUTERS

Mahkamah Australia halangan komen kes paderi ditikam di X

SYDNEY: Mahkamah Australia mengarahkan laman sosial X untuk menyembunyikan beberapa catatan yang mengulas mengenai kejadian tikaman seorang paderi di Sydney, sekali gus menambah pertengkaran di antara pemilik platform media sosial Elon Musk dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Mahkamah Persekutuan Australia semalam membenarkan pengawal selia siber negara itu, eSafety mendapat perintah injunksi dua hari yang meminta platform itu menyembunyikan beberapa catatan mengenai serangan menggunakan pisau kepada seorang paderi gereja Assyria, Mar Mari Emmanuel, di gerejanya, minggu lalu.

Hari ini, Albanese juga mengecam Musk dengan menggelarnya sebagai 'jutawan yang sombong' kerana menolak gesaan kerajaan Australia untuk menghapuskan kandungan itu.

X sudah menyekat kandungan untuk pengguna di Australia tetapi berkata, mereka tidak akan menyekat siaran untuk pengguna di luar negara, dengan alasan kerajaan Australia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kandungan yang boleh dilihat penggunanya secara global.

Video serangan yang disiarkan dalam talian menunjukkan penyerang, sempat dihalang oleh jemaah, menjerit kepada paderi kerana menghina Islam.

Polis kemudiannya mendakwa seorang remaja berusia 16 tahun atas kesalahan keganasan atas serangan itu.

Pengawal selia kerajaan turut meminta X untuk mengeluarkan siaran tertentu yang mengulas secara terbuka mengenai serangan itu, termasuklah beberapa video, seperti laporan REUTERS.

Sementara itu, hari ini, Elon Musk berkata, platform media sosial X akan merayu terhadap injunksi Australia yang memaksanya untuk memadamkan video tikam gereja di Sydney.

Musk berkata, syarikat itu akan merayu terhadap injunksi itu atas alasan kebebasan bersuara, lapor AFP.

"Kebimbangan kami ialah jika mana-mana ​​negara dibenarkan untuk menapis kandungan untuk semua negara, iaitu apa yang dituntut oleh 'eSafety Commissar' Australia, apa yang boleh menghalang mana-mana negara daripada mengawal keseluruhan Internet," katanya di X. - AGENSI

Berita Harian X