Sabtu, 13 April 2024 | 10:44pm

Raja Charles III sifatkan tindakan penyerang di pusat beli-belah Sydney tak masuk akal

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III dan isterinya, Ratu Camelia, ngeri dengan serangan dilakukan seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di Sydney, Australia dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal.

Baginda turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam kejadian yang berlaku hari ini.

"Saya dan isteri benar-benar terkejut serta ngeri mendengar insiden tikaman tragis di Bondi.

Polis meronda di hadapan pusat beli-belah Westfield Bondi Junction selepas kejadian tikaman di Sydney, hari ini. -AFP
Polis meronda di hadapan pusat beli-belah Westfield Bondi Junction selepas kejadian tikaman di Sydney, hari ini. -AFP

"Takziah kepada keluarga dan insan tersayang mereka yang telah dibunuh dengan begitu kejam dalam serangan tidak masuk akal itu.

"Ingatan kami kepada mereka yang terkesan dan kami berterima kasih atas keberanian responden pertama serta perkhidmatan kecemasan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan Istana Buckingham.

Terdahulu, anak lelaki Raja Charles III, Putera William dan isterinya Catherine, turut menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan kejadian yang membunuh enam individu selain mencederakan yang lain.

Angka kematian insiden tikaman di sebuah pusat beli-belah yang sibuk di Bondi Junction, Sydney, hari ini, meningkat kepada enam orang termasuk seorang kanak-kanak.

Mangsa keenam adalah ibu kepada kanak-kanak yang masih dirawat di hospital dengan kesan tikaman.

Jurucakap polis New South Wales mengesahkan penyerang telah ditembak mati di tempat kejadian oleh seorang polis wanita kanan. -AFP

Berita Harian X