Sabtu, 13 April 2024 | 8:38pm
Pegawai polis bertugas di tempat kejadian di luar Bondi Junction berikutan insiden tikaman di pusat beli-belah, di Sydney, Australia, hari ini. -REUTERS
Pegawai polis bertugas di tempat kejadian di luar Bondi Junction berikutan insiden tikaman di pusat beli-belah, di Sydney, Australia, hari ini. -REUTERS

Terkini: Cerita saksi dan polis di Westfield Bondi Junction yang menyaksikan 6 orang maut ditikam

SYDNEY: Enam terbunuh dan beberapa lagi cedera termasuk seorang bayi berumur sembilan bulan menjadi mangsa tikaman seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Kejadian berlaku di kompleks beli-belah Westfield Bondi Junction di sini hari ini, yang sesak dengan orang ramai.

Bagaimanapun, penyerang yang juga seorang lelaki berjaya ditembak oleh polis di tempat kejadian.

Mengulas perkembangan terkini, Komisioner Polis New South Wales, Karen Webb, berkata bayi yang terbabit dalam kejadian itu dikejarkan ke hospital dan sedang melalui pembedahan kecemasan.

Mengenai identiti penyerang, polis mengesyaki lelaki berkenaan berusia 40 tahun, namun belum dikenal pasti secara rasmi.

Web juga mengetepikan dakwaan bahawa serangan itu adalah tindakan keganasan sambil menambah penyerang melakukan serangan secara bersendirian.

"Jika ia sebenarnya orang yang kami percaya, maka...ia bukan insiden keganasan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Ambulans New South Wales memberitahu AFP, terdapat lapan pesakit dikejarkan ke hospital berlainan di Sydney, termasuk bayi yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Kanak-Kanak di sini.

Selain mengalami kecederaan, seorang pegawai memaklumkan bahawa mangsa juga mengalami trauma.

Berdasarkan rakaman kamera keselamatan di premis di mana kejadian itu berlaku, ia menunjukkan seorang lelaki memakai jersi liga ragbi Australia sedang berlari sekitar pusat beli-belah sambil memegang pisau besar.

Kelihatan juga mangsa yang cedera terbaring di atas lantai dan terdapat kesan darah di atas lantai.

Ada saksi di tempat kejadian memberitahu keadaan ketika itu panik apabila orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri dan polis cuba mengawal situasi di kawasan itu.

Ramai orang berlindung di kedai dan cuba untuk melindungi keselamatan sendiri, keluarga dan orang sekeliling.

Seorang pekerja kafe di pusat beli-belah terbabit, Ayush Singh, melihat sendiri kejadian yang berlaku.

"Saya lihat semua yang berlaku di depan saya. Saya lihat ramai orang bertempiaran lari. Saya lihat seorang lelaki berlari sambil membawa pisau dan orang ramai lari," katanya.

Singh sempat membantu dua warga emas yang sedang menikmati kopi di kafe tempat dia bekerja.

Berkongsi keadaan ketika itu, dia turut mendengar bunyi tiga kali tembakan dilepaskan dan melihat sendiri seorang lelaki tertiarap atas lantas.

"Sangat menakutkan. Saya rasa sangat selamat di Australia. Saya sudah berada di sini selama enam tahun. Saya tidak pernah rasa tidak selamat tetapi sekarang saya rasa takut," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memuji keberanian orang ramai yang saling membantu antara satu sama lain, termasuk seorang inspektor polis.

"Sudah pasti dia seorang hero. Tidak sangsi lagi yang dia menyelamatkan nyawa menerusi tindakan diambil," katanya.

Di sebelah malam, puluhan polis lengkap bersenjata termasuk beberapa ambulans berada di luar pusat beli-belah berkenaan.

Terdengar juga bunyi siren polis dan helikopter.

Ketika ini, premis berkenaan ditutup dan polis menasihatkan orang ramai elak berkunjung ke kawasan itu. -AFP

Berita Harian X