Isnin, 11 March 2024 | 4:39pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Ketua ajaran sesat Australia berdepan tuduhan dera kanak-kanak

SYDNEY: Seorang ketua ajaran sesat terkenal yang dikenali sebagai 'Little Pebble' ditahan Polis Australia atas kesalahan mendera dan melatih kanak-kanak perempuan (untuk tujuan seksual) ketika menjalani hukuman penjara.

William Costellia Kamm, 73, dan pasangannya Sandra Costellia, 58, ditahan selepas siasatan selama enam bulan dan ditolak ikat jamin serta dihadapkan di mahkamah pada hari ini.

William mengasaskan kumpulan akaran sesat 'Order of Saint Charbel' di kawasan luar bandar Nowra pada 1980-an dan menyampaikan mesej mengenai hari kiamat kepada penganut agama Kristian.

Sebelum ini, dia menjalani hukuman penjara sembilan tahun kerana melakukan hubungan seks dengan dua remaja perempuan dan dibebaskan pada November 2014.

Sementara itu, Komander Skuad Jenayah Seks Polis New South Wales, Jayne Doherty berkata, seorcostelliaang gadis berusia 19 tahun mendakwa pasangan itu melatihnya secara seksual sejak berusia enam tahun.

"Gadis itu memaklumkan bahawa dirinya telah dipilih oleh ketua agama dan pasangannya itu untuk mewujudkan mazhab agama yang baharu.

"Tertuduh lelaki adalah seorang banduan di pusat pemulihan dan menggunakan pelbagai kaedah seperti panggilan telefon, menghantar surat serta menggunakan pasangannya untuk melatih mangsa dan memberi mangsa hadiah serta arahan tertentu untuk mempengaruhi mangsa," katanya.

Doherty berkata, perbuataan tertududuh kepada mangsa adalah sesuatu yang mengerikan kerana jenayah itu dilakuan selama bertahun-tahun bagi melatih kanak-kanak perempuan berkenaan.

William juga menghadapi beberapa pertuduhan berkaitan dengan dakwaan melatih kanak-kanak perempuan secara seksual serta pertuduhan kerana gagal mematuhi perintah pengawasan.

Pasangan William juga didakwa atas dua pertuduhan berkaitan melatih kanak-kanak secara seksual dan kedua-dua tertuduh berkenaan ditahan di balai polis Sydney. - AFP

Berita Harian X