Rabu, 28 Februari 2024 | 9:38pm
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berucap dalam rakaman yang disiarakan pada sidang media di Beirut, Lubnan, hari ini. - REUTERS
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berucap dalam rakaman yang disiarakan pada sidang media di Beirut, Lubnan, hari ini. - REUTERS

Hamas sedia runding gencatan senjata dengan Israel

DUBAI: Kumpulan pejuang Palestin Hamas hari ini menyatakan kesediaan berunding dengan Israel berhubung perang yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

Pada masa sama, Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, menegaskan pihaknya juga sedia meneruskan pertempuran.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Haniyeh turut menggesa rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat berarak ke Masjid Al-Aqsa untuk bersolat pada hari pertama Ramadan pada 10 Mac ini, selain berikrar meningkatkan kepentingan dalam rundingan tidak langsung untuk perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada masa itu.

Isnin lalu, Israel menyatakan sedia membenarkan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis sepanjang Ramadan akan datang tetapi menetapkan had mengikut keperluan keselamatan, sekali gus menggambarkan kemungkinan berlaku pertempuran jika ramai penduduk Palestin hadir.

Isnin lalu juga, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berharap gencatan senjata di Gaza akan dipersetujui pada 4 Mac ini susulan rundingan di Qatar bagi membebaskan tebusan.

Haniyeh turut menggesa Axis of Resistance atau Paksi Penentangan yang juga sekutu Iran serta negara Arab meningkatkan sokongan kepada Palestin di Gaza.

"Negara-negara Arab dan Islam wajib mengambil inisiatif mengakhiri konspirasi kebuluran di Gaza," katanya sambil merujuk kepada apa yang disifatkan rakyat Palestin sebagai dasar Israel menafikan makanan kepada mereka. - REUTERS

Berita Harian X