Selasa, 27 Februari 2024 | 3:46pm
Presiden China, Xi Jinping (kanan) dan Presiden Kiribati, Taneti Maamau (kiri) ketika kunjungan ke China. - REUTERS
Presiden China, Xi Jinping (kanan) dan Presiden Kiribati, Taneti Maamau (kiri) ketika kunjungan ke China. - REUTERS

AS beri amaran selepas Kiribati dapatkan khidmat polis China

SYDNEY: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada negara Kepulauan Pasifik berkenaan 'bantuan' daripada pasukan keselamatan China selepas laporan berita mendedahkan polis China dikesan bekerja di Republik Kiribati.

Sehubungan itu, AS meminta kepulauan berhampiran terutama jiran terdekat, Hawaii, berwaspada terhadap perluasan pengaruh China secara tidak langsung di rantau Pasifik.

Pemangku pesuruhjaya polis Kiribati, Eeri Aritiera, memberitahu minggu lalu, pegawai beruniform China bekerja dengan pihak berkuasa kepulauan itu untuk kepolisan komuniti dan bagi program pangkalan data jenayah.

Kiribati ialah sebuah negara berpenduduk 115,000 orang dengan pulau terdekatnya ialah 2,160 kilometer (km) ke selatan Honolulu.

Berita itu hadir ketika Beijing memperbaharui usaha untuk meluaskan hubungan keselamatan di Kepulauan Pasifik, dalam persaingan yang dilihat semakin sengit dengan AS untuk menguasai rantau itu .

Diminta mengulas laporan itu, jurucakap Jabatan Negara AS, berkata pihaknya tidak percaya mengimport pasukan keselamatan dari China akan membantu mana-mana negara Pulau Pasifik.

"Sebaliknya, usaha sedemikian berisiko mencetuskan ketegangan serantau dan antarabangsa.

"Washington tidak akan bertolak ansur dengan usaha transnasional oleh China, termasuk percubaannya untuk menubuhkan balai polis di seluruh dunia.

"Kami bimbang mengenai potensi kemungkinan kesan daripada perjanjian keselamatan dan kerjasama siber berkaitan keselamatan dengan rakyat China yang mungkin menjejaskan autonomi mana-mana negara Kepulauan Pasifik," katanya.

Kiribati dianggap strategik bukan saja kerana kedudukannya hampir dengan Hawaii, sebaliknya ia mempunyai salah satu zon ekonomi eksklusif (EEZ) terbesar di dunia, meliputi lebih daripada 3.5 juta km persegi di Pasifik.

Ia menjadi tuan rumah kepada stesen pengesan satelit Jepun, sementara China pula sudah mengumumkan rancangannya untuk membangunkan semula landasan tentera AS ketika Perang Dunia Kedua di Pulau Kanton, Kiribati, sekali gus mengundang kebimbangan kepada AS.

AS pada Oktober menyatakan komitmennya untuk menaik taraf dermaga di pulau Kanton, yang juga bekas pangkalan tenteranya serta mahu membuka kedutaan di Kiribati.

China tidak menjawab atas persoalan diajukan mengenai peranan polisnya, namun entri di media sosial kedutaan pada Januari lalu, menamakan seorang individu sebagai ketua balai polis China di Kiribati.

bagaimanapun, polis Kiribati menjelaskan pihaknya hanya meminta bantuan kepolisan China pada 2022, bukannya pembukaan balai polis China.

Puluhan anggota beruniform polis China tiba tahun lalu secara bergilir-gilir selama enam bulan.

Sumber kedutaan China mengesahkan pegawai beruniform itu bekerja di Kiribati dan memaklumkan negara itu tidak membina balai polis.

Usaha China adalah untuk mencapai perjanjian keselamatan dan perdagangan di seluruh rantau itu, namun ditolak oleh Forum Kepulauan Pasifik pada 2022.

Polis China juga sudah ditempatkan di Kepulauan Solomon sejak 2022, selepas pakatan keselamatan rahsianya dikritik oleh Washington dan Canberra sebagai menjejaskan kestabilan serantau.

Sementara itu, Papua New Guinea, negara terbesar di Pulau Pasifik, berkata mereka tidak akan menerima tawaran bantuan polis dan teknologi pengawasan China, selepas laporan berita mendakwa mereka sedang merundingkan perjanjian kepolisan dengan China, sehingga mencetuskan kritikan AS dan Australia. - REUTERS

Berita Harian X