Ahad, 25 Februari 2024 | 3:15pm
Kepulan asap menjulang dari kebakaran hutan belukar di utara Beaufort, dekat Ballarat, Victoria di Australia. - Foto REUTERS
Kepulan asap menjulang dari kebakaran hutan belukar di utara Beaufort, dekat Ballarat, Victoria di Australia. - Foto REUTERS

Kebakaran hutan Australia musnahkan lebih banyak kediaman

SYDNEY: Kebakaran hutan selama beberapa hari di Victoria, Australia dikesan sudah memusnahkan lebih banyak kediaman, kata pihak berkuasa hari ini.

Mereka juga memberi amaran supaya penduduk berjaga-jaga menghadapi haba 'melampau' yang boleh menyebabkan strok dan kebakaran merebak lagi minggu ini.

"Setakat ini, saya dapat mengesahkan enam rumah musnah sama sekali, ini berita yang sangat menyedihkan bagi keluarga mangsa," kata Perdana Menteri Victoria, Jacinta Allan, kepada pemberita.

Tragedi itu dikesan turut membunuh ternakan, memusnahkan harta benda dan memaksa lebih 2,000 orang meninggalkan bandar barat itu dan terpaksa menuju ke bandar Ballarat, 95 kilometer (km) dari barat ibu negeri, Melbourne.

Australia ketika ini berada dalam cengkaman corak cuaca El Nino, yang biasanya dikaitkan dengan fenomena melampau seperti kebakaran hutan, taufan dan kemarau.

Menurut pihak berkuasa kecemasan negeri itu, hari ini sahaja lebih 15 kebakaran hutan belukar sedang marak di Victoria dengan kebakaran paling serius berada di lokasi kedua tertinggi, berhampiran beberapa bandar terpencil.

Allan berkata, terdapat 'kebimbangan mengenai cuaca minggu ini terutama pada hari Rabu hingga Khamis'.

"Apa yang kita sudah tahu ialah penunjuk berada dalam julat yang melampau," katanya, yang turut memaklumkan pihak berkuasa kecemasan akan bermesyuarat pada hari ini untuk perancangan bagi minggu hadapan.

Kira-kira 1,000 anggota bomba yang disokong oleh lebih 50 pesawat sudah terbabit dalam aktiviti memadamkan kebakaran sejak ia bermula.

Dua musim kebakaran belukar terakhir di Australia berkurangan berbanding 'Musim Panas Hitam' pada 2019-2020, apabila kebakaran belukar memusnahkan kawasan sebesar Turkiye, membunuh 33 orang dan tiga bilion haiwan. - REUTERS

Berita Harian X