Jumaat, 23 Februari 2024 | 5:01pm
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian di Waite Road in Paddington, Sydney, Australia. - Foto REUTERS
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian di Waite Road in Paddington, Sydney, Australia. - Foto REUTERS

Anggota polis Australia didakwa bunuh dua lelaki

SYDNEY: Seorang pegawai polis Sydney didakwa hari ini atas tuduhan membunuh bekas teman lelakinya dan seorang lagi lelaki.

Kedua-dua mangsa hilang selama beberapa hari selepas darah ditemui di rumah bekas teman lelaki tertuduh.

Menurut polis, konstabel berusia 28 tahun itu ditahan pada waktu pagi selepas tiba di balai polis di pinggir pantai Bondi.

Mahkamah dijadual memulakan pendakwaan kali pertama untuk kes itu hari ini terhadap Beaumont Lamarre-Condon.

Polis mendakwa, anggota itu membunuh Luke Davies dan Jesse Baird pada Isnin dan mengupah pemandu sebuah van putih pada petang itu untuk membuang mayat mangsa.

Baird ialah penyampai televisyen di stesen Network 10, sementara Davies seorang pramugara Qantas Airlines, menurut akaun media sosial mereka.

Polis memberitahu, sebahagian harta benda mereka yang dipenuhi darah ditemui pada pagi Rabu, dalam tong besar di pinggir pantai Cronulla.

Penemuan itu membawa polis ke rumah Baird di kawasan Paddington di Sydney, yang mana mereka menemui satu peluru dan banyak darah.

Polis berkata, pistol anggota itu yang ditemui dalam peti besi polis, sepadan dengan peluru yang diperoleh dari tempat kejadian.

Sebuah van putih ditemui pada pagi Jumaat di Newcastle 115 kilometer (70 batu) di utara Sydney.

"Adalah penting untuk kita mencari mayat, bukan saja menentukan punca kematian, tetapi jawapan kepada keluarganya, kerana mereka masih bersedih," kata pegawai detektif, Daniel Doherty pada sidang akhbar.

Polis berkata, mereka tidak pasti bagaimana Baird dan Davies dibunuh. Terdapat adegan jenayah di sekurang-kurangnya dua bahagian lain di Sydney.

Berita Harian X