Khamis, 22 Februari 2024 | 3:40pm
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Kebakaran belukar di Australia marak, ribuan diarah berpindah

SYDNEY: Lebih 2,000 orang dari bandar-bandar di barat negeri Victoria, Australia hari ini diarahkan berpindah berikutan kebakaran belukar semakin menjadi luar kawalan.

Perkhidmatan Kecemasan negeri menggesa penduduk di bandar Raglan dan Beaufort yang didiami kira-kira 2,000 orang serta mereka yang berada di kawasan sekitar berpindah sementara keadaan masih selamat dan menuju ke timur ke hab wilayah berdekatan Ballarat yang terletak kira-kira 95 kilometer (km) barat Melbourne.

Kira-kira 50km persegi atau seluas 4,999.9 hektar musnah dijilat api di barat laut Ballarat.

Selain itu, kawasan hampir berkeluasan sama juga musnah terbakar akibat kebakaran luar kawalan yang menjangkaui kawasan lebih jauh ke barat.

Perdana Menteri Australia, Jacinta Allan, berkata lebih 1,000 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di darat selain turut disokong 24 pesawat dan lebih 100 jentera. Katanya, ramai lagi anggota bersiap siaga membantu memadamkan kebakaran terbabit.

"Mematuhi arahan berpindah serta-merta adalah pilihan paling selamat untuk komuniti di sini.

"Jika anda berada di kawasan berkenaan, anda seharusnya mematuhi arahan dan bertindak sekarang untuk menyelamatkan nyawa anda sendiri," katanya pada sidang akhbar.

Sementara itu, pegawai berkata tiada kerosakan harta benda dilaporkan tetapi ia terlalu awal untuk mengetahui keadaan sebenar apa yang berlaku.

Sebahagian besar negeri itu berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kebakaran dan Biro Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran bahaya kebakaran yang melampau untuk beberapa daerah akibat udara panas, kering dan potensi ribut petir.

Kebakaran di barat Ballarat dijangka bertambah buruk pada petang ini sehingga tengah malam, apabila angin akan mula perlahan, kata Ketua Pegawai Pihak Berkuasa Kebakaran Negara, Jason Heffernan memberitahu sidang akhbar.

Suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Berita Harian X