Rabu, 21 Februari 2024 | 11:27am
Gambar pada tahun 2020 menunjukkan dron tentera udara AS, MQ-9 Reaper di Estonia. - Foto REUTERS
Gambar pada tahun 2020 menunjukkan dron tentera udara AS, MQ-9 Reaper di Estonia. - Foto REUTERS

Huthi tembak jatuh satu lagi dron AS

WASHINGTON: Sebuah dron MQ-9 milik tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh dekat Yaman oleh pejuang yang disokong Iran, kata dua pegawai AS pada Selasa.

Ini kali kedua tembakan seperti itu berlaku sejak beberapa bulan lalu ketika pertempuran berlarutan hampir setiap hari di antara kumpulan itu dengan tentera AS.

Huthi yang menguasai sebahagian besar Yaman selama hampir sedekad, melakukan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali sejak November lalu di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab ke atas kapal dagang serta tentera.

Tentera AS dan Britain bertindak balas dengan melakukan beberapa serangan ke atas kelengkapan Huthi, namun setakat ini gagal menghentikan serangan.

Seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan, berkata maklumat awal menunjukkan dron AS buatan General Atomics, ditembak berhampiran Hodeidah pada Isnin.

Pegawai itu tidak menyatakan sama ada dron itu berada di ruang udara antarabangsa.

Pegawai kedua berkata, dron itu ditembak jatuh peluru berpandu darat ke udara oleh Huthi dari kawasan dekat Hodeida.

Kenyataan pegawai mengesahkan dakwaan oleh Huthi mereka menembak jatuh sebuah dron berhampiran bandar pelabuhan itu.

Pada November lalu, satu lagi MQ-9 ditembak jatuh oleh Huthi dan dua dron turut dijatuhkan kumpulan itu pada 2019.

Pejuang Huthi pada Isnin, berkata mereka menyerang kapal kargo Rubymar di Teluk Aden, yang mungkin akan tenggelam, meningkatkan kempen mereka untuk mengganggu laluan kapal global dalam sokongan bersama rakyat Palestin dalam perang Gaza.

Walaupun tentera Barat menyerang mereka di Yaman, Huthi berikrar untuk terus menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel sehingga serangan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dihentikan. - REUTERS

Berita Harian X