Rabu, 21 Februari 2024 | 8:39am
Helikopter Black Hawk tentera Israel mendarat dekat Laut Galilee, utara Israel. - Foto REUTERS
Helikopter Black Hawk tentera Israel mendarat dekat Laut Galilee, utara Israel. - Foto REUTERS

Operasi Israel sama dengan tindakan Hitler - Brazil

RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyamakan operasi tentera Israel di Gaza dengan Holocaust, iaitu pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh Adolf Hitler.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam tindak balasnya berkata, Lula sudah 'melampau'.

Menteri Luar Israel, Israel Katz pula mengisytiharkan pemimpin Brazil itu tidak dibenarkan memasuki Israel selagi beliau tidak menarik balik kenyataannya dan meminta maaf.

Sebagai balasan, Menteri Luar Brazil Mauro Vieira pada Selasa, menuduh rakan sejawatnya dari Israel 'cuba berselindung' ketika pertelingkahan diplomatik memuncak berhubung perbandingan yang dibuat Lula.

Brazil menjadi tuan rumah mesyuarat menteri luar G20 minggu ini, dan Vieira berkata kenyataan Katz tidak boleh diterima dalam sifat mereka dan berbohong dalam kandungannya serta keterlaluan.

Katz juga memanggil duta Brazil, Frederico Meyer untuk bertemu pada Isnin di pusat peringatan Yad Vashem Holocaust di Baitulmaqdis.

Sebagai tindakan balas, kementerian luar Brazil kemudian memanggil duta Israel ke Brazil, Daniel Zonshinem serta memanggil semula Meyer dari Tel Aviv untuk berunding.

Pada Selasa, Katz melalui platform X menggambarkan perbandingan oleh Lula itu sebagai sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Beberapa pemimpin Israel berang selepas Lula berkata, konflik di Semenanjung Gaza bukan perang, tetapi pembunuhan beramai-ramai, dan membandingnya dengan Hitler yang membunuh orang Yahudi. - AFP

Kepulan asap di Bandar Gaza selepas bedilan Israel, hari ini. - Foto AFP
Kepulan asap di Bandar Gaza selepas bedilan Israel, hari ini. - Foto AFP

Berita Harian X