Selasa, 20 Februari 2024 | 1:25pm
Menteri Pertahanan, Richard Marles. - Foto AFP
Menteri Pertahanan, Richard Marles. - Foto AFP

Australia bangunkan aset tentera laut terbesar sejak Perang Dunia II

SYDNEY: Australia hari ini mengumumkan pelan negara itu untuk meningkatkan aset tentera udaranya termasuk kapal perang utama dalam berdepan persaingan kekuatan senjata di Asia Pasifik yang semakin meningkat.

Menteri Pertahanan, Richard Marles, berkata kerajaan turut meningkatkan peruntukan dalam aspek pertahanan dengan tambahan sebanyak AS$7 bilion (RM33.5 bilion).

Beliau berkata, melalui pelan itu, Australia dijangka memperoleh sebanyak 26 kapal tempur, meningkat daripada 11 yang dimilikinya kini.

"Ia adalah armada kapal terbesar yang akan kita miliki sejak akhir Perang Dunia Kedua," katanya.

Australia akan membina enam kapal frigat bertaraf Hunter, 11 kapal frigat bagi tujuan am dan enam kapal perang canggih tanpa anak kapal.

Sekurang-kurangnya beberapa kapal mempunyai kemudahan peluru berpandu Tomahawk yang mampu melakukan serangan jarak jauh ke atas sasaran di dalam wilayah musuh.

Pengumuman itu dibuat Australia selepas China dan Russia meningkatkan kuasa tembakannya secara besar-besaran selain persengketaan yang semakin meningkat antara sekutu pimpinan Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan diktator yang semakin agresif.

Pelan itu akan menyaksikan Australia meningkatkan perbelanjaan pertahanannya kepada 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi sasaran dua peratus yang ditetapkan sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Beberapa kapal akan dibina di Adelaide, dengan penawaran lebih 3,000 pekerjaan, tetapi ada juga yang menerima rekaan daripada AS selain kemungkinan reka bentuk dari Sepanyol, Jerman, Korea Selatan atau Jepun.

Berita Harian X