Isnin, 19 Februari 2024 | 9:45am
Kampung-kampung di wilayah Enga, dibakar dalam kejadian pertempuran suku kaum di Papua New Guinea. - Foto AGENSI
Kampung-kampung di wilayah Enga, dibakar dalam kejadian pertempuran suku kaum di Papua New Guinea. - Foto AGENSI

64 maut pertempuran suku di Papua New Guinea

PORT MORESBY: Sekurang-kurangnya 64 orang maut dalam sengketa suku kaum di kawasan tanah tinggi yang tidak mempedulikan undang-undang pihak berkuasa di Papua New Guinea.

Pesuruhjaya Polis, David Manning pada Ahad, memaklumkan anggota polis dan tentera sudah mengambil semua 64 mayat terbabit untuk dibawa ke hospital.

"Kami percaya masih ada beberapa mayat di luar sana dalam semak," katanya kepada AFP.

Semua mangsa dipercayai terbunuh berhampiran bandar Wabag, pada jarak kira-kira 600 kilometer barat laut dari Capital Port Moresby.

Gambar yang diedarkan oleh Royal Papua New Guinea Constabulary menunjukkan pegawai pihak berkuasa mengeluarkan mayat berhampiran bandar Wabag, 600 kilometer barat laut ibu kota Port Moresby susulan pertempuran suku kaum. - Foto AFP
Gambar yang diedarkan oleh Royal Papua New Guinea Constabulary menunjukkan pegawai pihak berkuasa mengeluarkan mayat berhampiran bandar Wabag, 600 kilometer barat laut ibu kota Port Moresby susulan pertempuran suku kaum. - Foto AFP

Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu, bagaimanapun polis berkata terdapat laporan membabitkan tembakan senjata berat.

Kejadian itu dianggap dikaitkan dengan konflik antara suku kaum Sikin dan Kaekin.

Suku-suku kaum di kawasan tinggi sudah bersengketa antara satu sama lain di negara itu selama berabad-abad, tetapi senjata automatik menjadikan pertelingkahan lebih berdarah dan memburukkan lagi kitaran keganasan.

Polis menerima video dan gambar yang dikatakan dari lokasi kejadian. Mereka menunjukkan anggota badan mayat yang terluka di tepi jalan.

Sebelum ini, seramai 24 orang terkorban, termasuk dua wanita hamil dalam sengketa suku kaum di perkampungan Munima dan Karida, sebuah wilayah yang susah di barat negara dalam keganasan selama tiga hari.

Perdana Menteri, James Marape, menjanjikan lebih banyak kerahan keselamatan dan memberi amaran kepada pesalah bahawa 'masa mereka sudah tamat'.

Dalam serangan di Karida, pejuang dikatakan menetak dan menembak enam wanita dan lapan kanak-kanak, selain dua wanita hamil, dalam serangan selama 30 minit. - AFP

Berita Harian X