Isnin, 22 Januari 2024 | 5:58pm
Palam pintu pesawat Alaska Airlines kelihatan tercabut pada insiden 5 Januari 2024. - Foto AGENSI
Palam pintu pesawat Alaska Airlines kelihatan tercabut pada insiden 5 Januari 2024. - Foto AGENSI

Lebih banyak pesawat Boeing 737 perlu diperiksa selepas insiden MAX 9

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat Amerika Syarikat (FAA) mengesyorkan syarikat penerbangan yang mengendalikan jet Boeing 737-900ER memeriksa palam pintu pesawat bagi memastikan ia dipasang dengan selamat.

Syor itu dibuat selepas palam pintu Boeing BA 737 MAX 9 tercabut ketika penerbangan pesawat Alaska Airlines awal bulan ini.

Pesawat 737-900ER bukan sebahagian daripada armada MAX yang lebih baharu tetapi mempunyai reka bentuk palam pintu pilihan yang sama.

FAA mengeluarkan "Amaran Keselamatan untuk Operator" dan mendedahkan beberapa syarikat penerbangan sudah menjalankan pemeriksaan tambahan pada palam pintu keluar bahagian tengah 737-900ER dan "mencatat penemuan dengan teliti ketika pemeriksaan penyelenggaraan."

Jurucakap Boeing berkata, pihak menyokong penuh syor FAA dan pelanggan mereka dalam tindakan ini.

Boeing pertama kali mengeluarkan 737-900ER pada 2007 dan terakhir pada 2019.

Alaska Airlines dan United Airlines, dua syarikat penerbangan AS yang menggunakan MAX 9, berkata, mereka menemui beberapa bahagian longgar pada beberapa pesawat MAX 9 ketika pemeriksaan awal.

Mereka terpaksa membatalkan beribu-ribu penerbangan bulan ini kerana penggantungan pesawat itu. - REUTERS

Berita Harian X