Ahad, 31 Disember 2023 | 3:25pm
Seorang anggota polis berdiri di lokasi di mana sebahagian daripada Lebuhraya Mulligan d dekat pekan di utara Australia, Cooktown, afrosak teruk selepas hujan lebat mengakibatkan banjir besar. - Foto AFP
Seorang anggota polis berdiri di lokasi di mana sebahagian daripada Lebuhraya Mulligan d dekat pekan di utara Australia, Cooktown, afrosak teruk selepas hujan lebat mengakibatkan banjir besar. - Foto AFP

Ribut petir ancam beberapa bahagian timur Australia

SYDNEY: Beberapa bahagian timur Australia hari ini dilanda ribut petir untuk hari kedua berturut-turut, memaksa biro cuaca memberi amaran hujan lebat berpotensi meningkatkan risiko banjir kilat berbahaya.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, cuaca liar merentasi wilayah tenggara Queensland dan utara New South Wales menghasilkan hujan lebat, hujan batu sebesar lima sentimeter (cm) dan tiupan angin menghampiri kekuatan 100 kilometer sejam (km/j).

Cuaca sama melanda sebuah pekan luar bandar Beerburrum di wilayah Sunshine Coast, Queensland, yang menerima taburan hujan berukuran 127 milimeter (mm) sebulan.

Pegawai ramalan cuaca Biro Meteorologi, Miriam Bradbury, menjangkakan ribut yang membadai sekarang berisiko bertukar menjadi lebih buruk.

"Sehari lagi ribut petir yang teruk sedang dalam perjalanan... dengan risiko ribut boleh menjadi lebih meluas sepanjang minggu pertama 2024.

"Beberapa bahagian di Queensland akan menerima hujan lebat yang akan membawa kepada banjir kilat," katanya di platform media sosial X.

Kakitangan kecemasan meredah air ketika operasi menyelamat ketika hujan lebat menyebabkan banjir terus naik di tapak perkhemahan Buchan di timur Gippsland, Melbourne di negeri Victoria, Australia. - Foto AFP
Kakitangan kecemasan meredah air ketika operasi menyelamat ketika hujan lebat menyebabkan banjir terus naik di tapak perkhemahan Buchan di timur Gippsland, Melbourne di negeri Victoria, Australia. - Foto AFP

Sementara itu, Menteri Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Murray Wat, berkata kerajaan akan menempatkan sehingga 70 veteran tentera dan anggota perkhidmatan kecemasan bersara di seluruh tenggara Queensland, bagi membantu kerja-kerja pembersihan akibat ribut yang melanda baru-baru ini.

Ribut terbaharu berikutan cuaca buruk pada 25 dan 26 Disember lalu mengorbankan 10 orang selain memutuskan bekalan elektrik membabitkan puluhan ribu bangunan di seluruh timur negara itu, selepas Taufan Jasper melanda awal bulan ini, menyebabkan banjir serta banyak kerosakan.

Kata pakar, perubahan iklim menjadi punca peningkatan cuaca melampau di Australia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Fenomena El Nino yang boleh mencetuskan kebakaran hutan, taufan dan kemarau berpanjangan, turut memberi kesan kepada negara semasa tempoh musim panas sekarang.

Walaupun pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi ribut petir di beberapa bahagian negara itu, berlaku peningkatan suhu di beberapa bandar dekat kawasan pedalaman Queensland akibat gelombang panas merentasi kawasan utara Australia.

Misalnya, suhu di bandar Julia Creek dijangka boleh mencecah 45 darjah Celsius hari ini, menurut ramalan cuaca.

Diramalkan, cuaca di tenggara negara itu akan berada pada tahap sederhana. - REUTERS

Berita Harian X