Ahad, 31 Disember 2023 | 1:29pm
Pejalan kaki melintasi papan tanda berlampu bagi menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 di Pristina, Kosovo. - Foto AFP
Pejalan kaki melintasi papan tanda berlampu bagi menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 di Pristina, Kosovo. - Foto AFP

Dunia bersedia menyambut 2024

SYDNEY: Lebih lapan bilion penduduk dunia akan mengucapkan selamat tinggal kepada 2023, yang terpalit pelbagai isu dan tragedi duka lara termasuk sebagai tahun paling 'panas' dalam rekod berikutan kesan perubahan iklim.

Jika diimbau peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu, ia terkait konflik sama ada dicetuskan alam semula jadi dan berpunca angkara perbuatan perbuatan manusia sendiri.

Antaranya, krisis iklim yang menyaksikan bencana seperti banjir besar, letusan gunung berapi dan ribut sehingga meragut banyak nyawa selain memusnahkan harta benda.

Tidak terkecuali juga peperangan yang setakat ini nampaknya tiada berkesudahan, seperti yang berlaku di Gaza dan Ukraine.

Justeru, ada yang meletakkan harapan kedatangan tahun baharu ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan 'ketegangan' dan tekanan seperti beban kos sara hidup yang tinggi serta kekacauan global.

Di Sydney, dijangka lebih sejuta pengunjung akan membanjiri pinggir bandar semata-mata untuk menyambut Tahun Baharu 2024, walaupun cuaca lembap.

Di Paris, bunga api seberat lapan tan akan digunakan untuk ruang udara bandar itu 'bermandikan cahaya' pada malam Ambang Tahun Baharu.

Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di hadapan papan tanda 2024 berlampu di Islamabad, Pakistan, yang mengharamkan acara menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin yang teraniaya akibat perang dengan Israel. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di hadapan papan tanda 2024 berlampu di Islamabad, Pakistan, yang mengharamkan acara menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin yang teraniaya akibat perang dengan Israel. - Foto AFP

Tahun 2023 turut melakar pencapaian menakjubkan dalam bidang angkasa lepas apabila India mengatasi China sebagai bukan saja negara paling ramai penduduk di dunia, bahkan menjadi negara pertama mendaratkan roket di kutub selatan bulan.

Tahun ini juga digelar paling panas sehingga memecah rekod sejak 1880, di tambah dengan beberapa siri bencana alam yang didorong iklim tidak menentu dari Australia sehingga benua Afrika dan lembangan Amazon.

Paling akan diingati pada 2023 sudah pasti konflik berterusan antara Israel dan Palestin, yang menyaksikan pertumpahan darah terus berlaku akibat serangan bertali arus oleh tentera rejim Zionis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir dua juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal sejak kepungan Israel bermula.

Pelancong bersiar di Times Square, New York di Amerika Syarikat (AS), ketika persediaan menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 sedang giat dijalankan. - Foto AFP
Pelancong bersiar di Times Square, New York di Amerika Syarikat (AS), ketika persediaan menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024 sedang giat dijalankan. - Foto AFP

Serangan bertali arus oleh rejim Zionis menyebabkan Gaza bertukar menjadi 'padang jarak, padang tekukur'.

Beralih ke Ukraine pula yang menyaksikan negara itu diceroboh Russia, semakin menghampiri 'ulang tahun' kedua konflik berkenaan.

Meskipun perang masih tidak memberikan sebarang isyarat akan reda, terdapat penduduk Ukraine yang masih optimis kemenangan bakal berada di pihak mereka.

2024 juga bakal menyaksikan beberapa negara melangsungkan pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya penting bagi memilih tampuk pemerintahan negara.

Antara perhiasan di di Times Square, New York di Amerika Syarikat (AS), bagi menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024. Foto AFP
Antara perhiasan di di Times Square, New York di Amerika Syarikat (AS), bagi menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024. Foto AFP

Selain Russia, lebih empat bilion penduduk akan menentukan saf pentadbiran negara seperti Britain, Perancis, India, Indonesia, Mexico, Afrika Selatan dan Venezuela

Satu pilihan akan menjadi tumpuan dan ia mungkin akan memberi kesan kepada landskap dunia iaitu pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS ketika ini, Joe Biden, 81, mengumumkan akan bertanding semula bagi merebut, sekali gus mengekalkan jawatan itu pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Turut mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden adalah Donald Trump, 77, yang sebelum ini pernah memegang jawatan itu dan kini mendahului perlumbaan pemilihan presiden AS dengan selesa. - AFP

Berita Harian X