Rabu, 27 Disember 2023 | 12:58pm
Anggota pasukan kecemasan terbabit misi menyelamatkan mangsa banjir di tapak perkhemahan Buchan, di timur Gippsland, yang terletak di timur Melbourne, Victoria, di Australia. - Foto AFP
Anggota pasukan kecemasan terbabit misi menyelamatkan mangsa banjir di tapak perkhemahan Buchan, di timur Gippsland, yang terletak di timur Melbourne, Victoria, di Australia. - Foto AFP

Ribut petir membadai Australia, 9 terbunuh

SYDNEY: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan seorang lagi hilang selepas ribut petir membadai timur Australia sewaktu perayaan Krismas, kata pihak berkuasa hari ini.

Cuaca ganas yang melanda Victoria, New South Wales (NSW) dan Queensland pada 25 dan 26 Disember lalu, membawa hujan batu besar serta hujan lebat.

Angin kencang menerbangkan bumbung selain menumbangkan pokok di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

Pesuruhjaya Polis Queensland, Katarina Carrol, berkata tiga lelaki terbunuh selepas sebuah kapal layar yang membawa 11 penumpang terbalik berhampiran Green Island di Teluk Moreton.

Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan seorang wanita ditemui mati, selepas dihanyutkan dalam longkang yang ditenggelami air, manakala dua lagi maut akibat dihempap pokok tumbang.

Ekoran itu, pihak berkuasa memberi amaran paras air sungai dan anak sungai yang naik cepat boleh merobohkan tebing sehingga membanjiri tapak perkhemahan, yang kebiasaannya sesak semasa minggu Krismas serta sambutan Tahun Baharu.

Menurut polis, seorang lagi wanita ditemui mati di tapak perkhemahan di Victoria selepas banjir surut.

Sementara itu, syarikat utiliti Energex milik kerajaan Queensland memaklumkan, lebih 90,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik akibat terkesan dengan ribut.

Ia selepas rangkaiannya mengalami kerosakan teruk dengan ratusan talian elektrik terputus dan akan mengambil masa beberapa hari untuk memulihkan perkhidmatan.

Biro Meteorologi Australia meramalkan hujan berterusan walaupun cuaca ganas dijangka reda esok.

Australia kini mengalami fenomena El Nino, menyebabkan taufan tropika dan kemarau berpanjangan. - REUTERS

Berita Harian X