Sabtu, 23 Disember 2023 | 7:49am
Pejuang Houthi di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah pada November lalu, - Foto REUTERS
Pejuang Houthi di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah pada November lalu, - Foto REUTERS

AS dakwa Iran bantu serangan kapal di Laut Merah

WASHINGTON: Amerika Syarikat mendakwa Iran terbabit dalam serangan ke atas kapal komersial yang dilakukan oleh pemberontak Huthi.

Rumah Putih menyatakan AS mempertimbang tindak-balas yang lebih keras, termasuk tindakan ketenteraan.

Majlis Keselamatan Negara AS mengumumkan risikan mereka bahawa Iran membantu serangan ke atas kapal berkaitan Israel sebagai sokongan Huthi kepada pejuang Hamas.

AS mendakwa Iran membekalkan dron dan peluru berpandu kepada kumpulan Huthi, selain menyalurkan maklumat risikan taktikal.

"Kami tahu Iran terbabit secara rapat dalam merancang operasi terhadap kapal komersial di Laut Merah," kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adrienne Watson.

Kumpulan Huthi yang mengawal sebahagian besar Yaman termasuk ibu kota Sanaa, melancarkan lebih 100 serangan dron dan peluru berpandu dengan menyasarkan 10 kapal dagang, menurut Kementerian Pertahanan AS.

Serangan itu mengakibatkan aliran trafik komersial semakin terganggu, dan AS baru-baru ini mengumumkan pasukan petugas tentera laut daripada 20 negara akan melindungi kapal di Laut Merah.

Untuk menunjukkan kekuatan, kapal pengangkut pesawat AS USS Dwight D Eisenhower memasuki Teluk Aden, dengan beberapa laporan berita mengatakan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden sedang menimbang serangan, jika gangguan ke atas kapal itu berterusan.

Pada Rabu lalu, pemimpin pemberontak, Abdel-Malek al-Huthi memberi amaran sekiranya pihaknya diserang, pemberontak akan menyerang balik 'kapal perang Amerika dan kepentingan Amerika'.

Dalam pada itu, Rumah Putih berkata, analisis visual AS menemui ciri yang hampir sama di antara dron KAS-04 Iran dan kenderaan tanpa pemandu yang dilancarkan oleh Huthi, serta ciri persamaan antara peluru berpandu Iran dan Huthi.

Rumah Putih berkata, kumpulan Huthi juga bergantung kepada sistem pemantauan yang disediakan oleh Iran di laut.

Perang Huthi dengan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi sudah dihentikan menerusi gencatan senjata sejak April 2022. - AFP

Berita Harian X