Selasa, 19 Disember 2023 | 6:03pm
Antara rampasan kokain dengan nilai pasaran keseluruhan melebihi AS$670 juta (RM3.1 bilion), yang dilakukan polis New South Wales (NSW), Australia ketika menyiasat kes penculikan. - Foto Polis NSW
Antara rampasan kokain dengan nilai pasaran keseluruhan melebihi AS$670 juta (RM3.1 bilion), yang dilakukan polis New South Wales (NSW), Australia ketika menyiasat kes penculikan. - Foto Polis NSW

Australia: Siasat kes culik, tapi jumpa 722 kg kokain

SYDNEY: Polis Australia pada Selasa berkata siasatan ke atas komplot penculikan membawa kepada penemuan sebanyak 722 kilogram (kg) kokain di Sydney, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan Polis New South Wales (NSW) pada Isnin pihaknya menahan empat lelaki selepas menerima laporan mengenai cubaan pecah masuk di pinggir bandar Ryde, di sini.

Polis berkata mereka menggeledah kereta itu dan menemukan barangan yang mempunyai kaitan dengan cubaan menculik.

Pasukan penyiasat kemudiannya mengenal pasti mangsa yang dimaksudkan dalam cubaan penculikan itu dan menemukan sebanyak 722 kg kokain dalam sebuah hartanah yang mempunyai kaitan dengan lelaki berusia 24 tahun itu.

Dadah itu dipercayai mempunyai nilai pasaran melebihi AS$670 juta (RM3.1 bilion).

Keempat-empat lelaki itu didakwa dengan lima kesalahan setiap seorang, termasuk memiliki senjata dengan niat untuk melakukan kesalahan yang boleh didakwa dan menjadi sebahagian daripada kumpulan jenayah.

Mangsa yang menjadi sasaran culik pula didakwa membekalkan kuantiti komersial dadah terlarang dan sengaja berurusan dengan hasil jenayah.

Polis NSW berkata mereka percaya empat lelaki itu memasuki kompleks unit itu dengan niat untuk merompak dan menculik penghuninya. - BERNAMA-dpa

Berita Harian X