Khamis, 23 November 2023 | 7:20pm
WHO telah meminta China untuk mendapatkan lebih banyak data mengenai penyakit pernafasan yang merebak di utara negara itu, menggesa mereka mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan. - Foto AFP
WHO telah meminta China untuk mendapatkan lebih banyak data mengenai penyakit pernafasan yang merebak di utara negara itu, menggesa mereka mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan. - Foto AFP

WHO minta China kemuka lebih banyak data mengenai wabak penyakit pernafasan

BEIJING: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta China mengemukakan lebih banyak data mengenai penyakit pernafasan yang merebak di utara negara itu, namun sehingga hari ini Beijing belum memberikan sebarang komen umum mengenainya.

Menurut WHO, sejak pertengahan Oktober, China Utara dilaporkan merekodkan peningkatan penyakit seperti influenza berbanding tempoh sama dalam tiga tahun sebelumnya.

WHO memaklumkan pihaknya sudahpun membuat permintaan rasmi kepada China untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai peningkatan penyakit pernafasan dan melaporkan kelompok radang paru-paru pada kanak-kanak," kata badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataannya, semalam.

Minggu lalu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China memberitahu media, peningkatan penyakit pernafasan adalah disebabkan penarikan sekatan COVID-19 dan perebakan patogen yang diketahui, iaitu influenza dan jangkitan bakteria biasa yang menjejaskan kanak-kanak termasuk mycoplasma pneumonia.

Ibu negara China, Beijing, yang terletak di utara negara itu, kini mengalami cuaca sejuk dengan suhu dijangka menjunam ke bawah sifar menjelang esok, lapor media kerajaan.

Bandar itu 'memasuki musim penyakit berjangkit pernafasan yang tinggi' kata Timbalan Pengarah dan Ketua Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Beijing, Wang Quanyi kepada media kerajaan.

Katanya, pada masa ini Beijing menunjukkan trend 'pelbagai patogen yang wujud bersama'.

WHO tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai tindak balas China terhadap permintaannya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China juga tidak memberi sebarang maklum balas seperti diminta AFP pada hari ini.

Jurucakap Kementerian Luar Beijing, Mao Ning merujuk wartawan kepada 'pihak berkuasa China yang berwibawa'.

Sementara itu, di hospital kanak-kanak Institut Pediatrik Ibu Kota Beijing hari ini, wartawan AFP melihat ramai ibu bapa dan kanak-kanak berpakaian musim sejuk.

Pada 21 November lalu, media dan sistem pengawasan penyakit awam ProMED melaporkan kelompok radang paru-paru yang tidak didiagnosis pada kanak-kanak di utara China.

Sebagai maklum balas, WHO berkata adalah tidak jelas sama ada laporan ProMED berkaitan dengan sidang media pihak berkuasa dan pihaknya sedang mendapatkan penjelasan.

Agensi itu juga sudah 'meminta maklumat tambahan mengenai trend terkini dalam penularan patogen yang diketahui, termasuk influenza, SARS-CoV-2 (virus yang mengakibatkan COVID-19), RSV yang menjejaskan bayi dan Mycoplasma pneumonia serta tahap kesesakan dalam sistem kesihatan', kata kenyataan itu.

Ia menggesa orang ramai mengambil langkah pencegahan termasuk mendapatkan vaksin, menjaga jarak daripada orang yang sakit dan memakai pelitup muka.

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, WHO berulang kali mengkritik pihak berkuasa China kerana pihak itu kurang telus dan memberikan kerjasama.

Lebih tiga tahun selepas kes pertama kali dikesan di Wuhan, perdebatan hangat masih berlaku mengenai punca atau asal-usul COVID-19.

Saintis membahagikan dua teori utama penyebabnya melarikan diri dari makmal di bandar tempat virus seperti itu dikaji dan haiwan perantaraan yang menjangkiti orang di pasar tempatan.

Awal tahun ini, pakar WHO berkata pihaknya yakin Beijing mempunyai banyak data yang boleh menjelaskan asal-usul COVID-19 dan menyebutnya sebagai keharusan moral untuk maklumat itu dikongsi.

Pasukan pakar yang diketuai oleh WHO dan diiringi oleh rakan sekerja China menyiasat China pada awal 2021, namun selepas itu tiada pasukan yang dapat kembali sejak itu dan pegawai WHO telah berulang kali meminta data tambahan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa menyelesaikan misteri itu dapat membantu mengelak wabak masa depan. - AFP

Berita Harian X