BUENOS AIRES: Seorang wakil komuniti etnik Rohingya beragama Islam memberi keterangan buat pertama kali semalam, sebahagian daripada siasatan kehakiman Argentina terhadap dakwaan jenayah dilakukan tentera Myanmar, kata seorang aktivis kepada AFP.
Menurut Presiden Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (UK) yang berpangkalan di Britain, perbicaraan yang dilakukan secara tertutup itu adalah 'hari bersejarah untuk semua penduduk di negara itu'.
"Akhirnya perbicaraan secara bersemuka sedang berlaku dan bukti kukuh sedang dikemukakan di mahkamah," katanya yang tidak memperincikan identiti, bilangan individu terselamat yang memberi keterangan mahupun fakta berkaitan kes atas faktor keselamatan.
Menurut sumber yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, perbicaraan membabitkan enam individu itu dijangka berlanjutan sehingga 13 Jun ini.
Pada 2021, sistem keadilan Argentina memberi maklum balas terhadap aduan diterimanya, mengumumkan kerajaan membuka siasatan terhadap dakwaan jenayah oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di bawah prinsip bidang kuasa sejagat yang termaktub dalam perlembagaan.
Pada tahun sama, enam wanita Rohingya yang tinggal sebagai pelarian di Bangladesh mengambil bahagian dalam perbicaraan maya di hadapan mahkamah Argentina, memetik serangan seksual dan kematian saudara maranya akibat penindasan rejim.
"Perbicaraan secara bersemuka terhadap mangsa yang terselamat diteruskan. Bukti yang sangat penting sedang didedahkan," kata Maung Tun Khin.
Pada masa lalu, Mahkamah Argentina bersetuju memeriksa kes di luar negara di bawah prinsip bidang kuasa sejagat, khususnya jenayah yang dilakukan di bawah rejim fasis Francisco Franco di Sepanyol.
Prinsip ini memungkinkan untuk mendakwa pelaku jenayah yang paling serius tanpa mengira kewarganegaraan mereka atau di mana jenayah itu dilakukan.
Kira-kira 750,000 orang komuniti Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 susulan tindakan keras tentera Myanmar, selain 'tindakan pembunuhan beramai-ramai' sebelum ini yang kini menjadi subjek prosiding berasingan di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa. - AFP